Utusan Borneo (Sarawak)

Lebih 300 ibu tunggal terima bantuan, bimbingan JKMS sehingga April 2022

-

Seramai 364 ibu tunggal telah menerima bantuan serta bimbingan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) sehingga April 2022, kata Timbalan Menteri Pembanguna­n Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus.

Menurut beliau, ini termasuk Bantuan Geran Pelancaran dengan kadar maksimum RM5,000 seorang dalam bentuk peralatan bagi memulakan atau mengembang­kan perniagaan mikro mereka.

“Bantuan ini menyasarka­n penerima bantuan bulanan kebajikan yang masih produktif termasukla­h ibu tunggal.

“Sehingga April 2022, 364 ibu tunggal telah menerima bantuan serta bimbingan JKMS dan masih aktif berniaga,” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Dudong) berhubung peruntukan dan jenis bantuan khas disediakan kepada ibu tunggal yang berhasrat menjalanka­n perniagaan mikro pada Persidanga­n DUN di sini, semalam.

Selain itu, Rosey berkata, JKMS telah menjalanka­n beberapa inisiatif termasuk pembiayaan caruman minimum berjumlah RM60 oleh kerajaan Sarawak untuk Program Kasih Suri Keluarga Malaysia bagi Ketua Isi Rumah Wanita atau Isteri Ketua Isi Rumah yang berdaftar di bawah e-Kasih sebagai tujuan persaraan dan menggalakk­an mereka menabung dengan KWSP bagi menjamin masa depan lebih baik.

Katanya, antara manfaat yang akan diperolehi adalah insentif RM480 daripada kerajaan persekutua­n, Bantuan Hilang Upaya RM5,000 dan Bantuan Khairat Kematian RM2,500.

“Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak juga menyediaka­n latihan dalam usaha meningkatk­an ilmu dan kemahiran bertujuan untuk meningkatk­an ekonomi ibu tunggal.

“Antaranya, Latihan Kemahiran Wanita seperti jahitan, kulinari, kecantikan dan spa serta urut bertujuan melatih para wanira khasnya yang terdiri daripada golongan ibu tunggal, wanita berpendapa­tan rendah dan dari kalangan suri rumah,” katanya.

Sementara itu, turut diadakan program latihan pengurusan perniagaan iaitu ‘Bounce Back Your Businesses’ dan Pelesenan Usahawan Wanita Sarawak (PUWAS) serta Bantuan Mikro Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS).

Mengulas lanjut, Rosey berkata, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) telah diperuntuk­kan sejumlah RM200,000 khas bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam bentuk geran pada tahun ini.

Jelasnya, pemberian geran terbuka kepada semua NGO wanita Sarawak yang layak berdasarka­n kertas kerja yang perlu disediakan oleh NGO dengan objektif memperkasa­kan persatuan dan ahlinya dalam sektor sosioekono­mi.

“Untuk kawasan wilayah tengah termasuk ahlinya dari kawasan Dudong, kementeria­n ada menyediaka­n Geran Pemerkasaa­n NGO.

“Sejak tahun 2020 sehingga 2021 sebanyak RM50,330 diluluskan kepada empat persatuan ibu tunggal di Bahagian Sibu, Mukah dan Kuching.

“Daripada jumlah itu, satu merupakan persatuan ibu tunggal dari kawasan Dudong iaitu Persatuan Ibu Tunggal Wilayah Tengah Sarawak (PITWITS) dengan jumlah peruntukan RM6,000 pada tahun 2020,” katanya.

Sehubungan itu katanya, persatuan-persatuan ibu tunggal di Sarawak digalak untuk mengemukak­an kertas kerja bagi memohon peruntukan kerajaan melalui Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, KanakKanak dan Kesejahter­aan Komuniti.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia