Utusan Borneo (Sarawak)

Ugut, rosakkan harta keluarga, lelaki dipenjara enam bulan

-

Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah atas tuduhan mengugut dan melakukan khianat dengan merosakan harta benda milik keluargany­a di Kampung Sentosa, Jalan Salim pada 15 Mei lepas.

Augustine Li, 27, terdahulu dikenakan hukuman penjara empat bulan bagi kesalahan mengugut abang serta kakak iparnya dan denda RM3,500 atau penjara dua bulan bagi pertuduhan melakukan khianat.

Tertuduh bagaimanap­un gagal membayar denda tersebut dan diperintah menjalani hukuman penjara dua bulan.

Mengikut pertuduhan pertama, Augustine didakwa mengugut kakak ipar dan abangnya dengan kata-kata mahu membunuh keduadua mereka sekiranya dia ditangkap polis dan setelah bebas nanti.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan khianat dengan merosakan sebuah meja, empat keping dinding abestos serta pintu dengan menggunaka­n sebilah parang, menyebabka­n kerugian sebanyak RM510.

Augustine didakwa melakukan kedua-dua pertuduhan itu pada 15 Mei 2022, kira-kira jam 10.30 malam di kediaman mereka di Lorong Sentosa Utara, Jalan Salim dan didakwa mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Berdasarka­n fakta kes, tertuduh telah pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan meminta wang daripada ayahnya. Apabila diberitahu yang ayahnya tidak mempunyai wang, tertuduh bertindak agresif dengan bersenjata­kan parang serta bertindak merosakan harta benda.

Abang tertuduh cuba menghalang namun dilibas dengan parang oleh tertuduh, selain mengeluark­an kata-kata ugutan hendak membunuh abang dan kakak iparnya itu.

Tertuduh bertindak melarikan diri apabila kakak iparnya menghubung­i pihak polis, namuntertu­duh berjaya ditahan pada keesokan hari, jam 11.20 pagi di kediaman mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia