Utusan Borneo (Sarawak)

CCTV beresolusi tinggi akan dipasang di Tebingan Kuching

-

Kamera litar tertutup (CCTV) beresolusi tinggi akan dipasang di beberapa lokasi panas dalam kawasan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) termasuk Tebingan Kuching.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomuni­kasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang juga Menteri Bertangung­jawab DBKU berkata, perbincang­an telah diadakan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) mengenai pemasangan CCTV terbabit, terutama di Tebingan Kuching.

“Saya akan meminta SMA membantu DBKU untuk memasang CCTV beresolusi tinggi di Tebingan Kuching.

“Ini adalah untuk memastikan kita dapat mengenal pasti suspek terlibat dalam apa-apa bentuk vandalisme atau laku musnah di lokasi terlibat,” katanya pada sidang media di Bilik Media Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam.

Mengenai perbuatan menabur serbuk pencuci di kolam air pancutan di Tebingan Sungai Kuching pada 12 Mei lepas, Dr Abdul Rahman berkata, polis masih memburu suspek.

Katanya, beliau difahamkan suspek yang bertindak menabur serbuk pencuci tersebut berbuat demikian hanya untuk mengikut trend di bandar-bandar besar di negara-ngara lain.

“Fenomena ini adalah biasa di bandar-bandar besar di negara-negara lain tetapi kepada DBKU ia adalah perbuatan laku musnah yang serius kerana boleh menyebabka­n kerosakan pada peralatan di kolam air tersebut,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata berdasarka­n rakaman CCTV, kedua-dua suspek lelaki berumur 35 tahun ke atas.

Katanya, kedua-dua suspek berseluar pendek dan beliau percaya adalah orang luar.

“Dua laporan polis dibuat pada 13 Mei berhubung kes ini dan pasukan siasatan sudah dibentuk bersama DBKU selepas laporan polis diterima.

“Kami masih memburu mereka dan kami akan cuba lakukan yang terbaik untuk selesaikan kes ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia