Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki mengaku miliki motosikal curi dihukum penjara tujuh bulan

-

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan di Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah memiliki motosikal curi pada April tahun lalu.

Zambri Bujang, 34, membuat pengakuan tersebut sebaik dituduh di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, dan jika harta curi merupakan kenderaan motor atau komponenny­a seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 379A, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan denda.

Mahkamah memerintah­kan tertuduh dijatuhi hukuman penjara berkuat kuasa 2 Februari 2023.

Lelaki itu didakwa menyimpan sebuah motosikal curi milik seorang juruwang lelaki berusia 22 tahun (pengadu) di sebuah rumah tidak bernombor di Kampong Paroh, Jalan Matang-Batu Kawa di sini sekitar jam 8.20 pagi, pada 8 April 2022.

Berdasarka­n keterangan kes, pengadu dan rakannya sedang bekerja di sebuah kedai 24 jam terletak di Jalan Pending sekitar jam 3.30 pagi pada 13 Mac 2022, sebelum dua lelaki tidak dikenali datang ke kaunter dan mengacukan tukul serta sebatang besi ke arah mereka.

Salah seorang daripada lelaki itu mengarahka­n rakan pengadu membuka mesin wang, sementara seorang lagi telah mengambil beg sandang dan telefon bimbit mereka sebelum beredar dari kedai.

Semasa keluar dari kedai, salah seorang lelaki tersebut melarikan motosikal milik pengadu.

Laporan polis dibuat dan pihak polis menerusi Ops Samun mengesan tertuduh di sebuah rumah pada 8 April 2022.

Pemeriksaa­n dilakukan di hadapan rumah dan membawa kepada penemuan sebuah motosikal dipercayai milik pengadu.

Semakan lanjut mendapati nombor casis motosikal itu telah diganggu, namun semakan menerusi sistem Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahka­n nombor pendaftara­n asal motosikal tersebut adalah sama dengan motosikal milik pengadu yang dilaporkan hilang.

Pendakwaan dikendalik­an olah Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia