Utusan Borneo (Sarawak)

Gereja Katolik Sibu alu-alukan paderi baharu, Johanaz Ling

-

Gereja Katolik Sibu mengalu-alukan kedatangan paderi baharu, Johanaz Ling, 34, pada 25 Januari lalu di Katedral Sacred Heart, di sini.

Pentahbisa­n itu dipengerus­ikan oleh Bishop Sibu Right Reverend Joseph Hii di mana ratusan penganut Katolik menghadiri misa yang bermula pada jam 3 petang.

Dalam ucapanya, Hii berkata, Ling menjadi seorang pelayan dengan kehendakny­a sendiri dan hati nurani yang bersih.

“Beliau dihantar ke misinya untuk meneruskan pelayanan Tuhan dan berkhidmat kepada umat Tuhan,” katanya.

Sementara itu, menurut Ling, panggilan untuk melayani bermula ketika dia berumur sembilan tahun.

Namun katanya, sebagai seorang yang masih mentah beliau tidak tahu tentang ‘panggilan’ tersebut, justeru kehidupan diteruskan seperti biasa.

“Saya dididik oleh paderi Thomas Connor, cara beliau melayani misa, kebaikanny­a dan sebagainya. Saya memberitah­u diri saya bahawa saya mahu menjadi seperti beliau. Tetapi saya tidak menyedari ia adalah panggilan.

“Ketika meningkat dewasa, ayah saya sangat tegas memastikan kami berdoa tasbih, kami pergi ke misa dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Katanya, beliau mula memikirkan secara serius keinginann­ya untuk menjadi paderi selepas pendidikan Tingkatan 6 pada tahun 2011.

Beliau kemudian membuat keputusan untuk bertemu Uskup Joseph Hii. Hii memintanya untuk tinggal di Gereja Christ the King di Bintangor selama setahun bersama paderi Philip Hu dan Simon Lau.

Kemudian, pada tahun 2012 dan 2013 beliau belajar di Kolej General Penang sebagai tahun permulaan. Kemudian, pada 2014, beliau dihantar ke Kolej St Peter di Kota Kinabalu, Sabah.

Selepas itu, beliau dihantar belajar di Kolej St Peter di Kuching selama enam tahun.

“Saya menamatkan pengajian pada tahun 2020 dan saya telah ditempatka­n untuk melakukan kerjakerja pastoral di Katedral Sacred Heart, Sibu. Saya menghabisk­an satu tahun untuk kerja pastoral dari 2021 hingga 2022.

“Kemudian, pada 26 Mei 2022, saya telah dihantar ke

Gereja Mary Immaculate Conception, Kapit. Saya kemudianny­a ditahbiska­n sebagai diakon pada 3 Jun 2022,” katanya.

Ling berkata, apabila beliau memberitah­u ibu bapanya tentang keinginann­ya untuk menjadi paderi, ibu bapanya sangat menyokong.

“Ayah saya berkata bahawa jika Tuhan memanggil saya ke pelayanan, maka saya harus pergi mencubanya. Mereka menggalakk­an dan menyokong saya sepanjang jalan,” katanya.

Sekarang sebagai paderi, Ling berkata beliau boleh meneruskan misinya untuk menginjil.

“Ia adalah satu perjalanan dan sepanjang perjalanan, saya akan menjadi seorang yang lebih baik. Saya hanya meneruskan misi Tuhan,” katanya, sambil menambah ia adalah perjalanan yang beliau tahu akan nikmati walaupun menghadapi cabaran dan kesukaran.

 ?? ?? SAKSI: Ratusan umat Katolik menghadiri pentahbisa­n paderi Johanaz Ling di Katedral Sacred Heart, Sibu baru-baru ini.
SAKSI: Ratusan umat Katolik menghadiri pentahbisa­n paderi Johanaz Ling di Katedral Sacred Heart, Sibu baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia