Utusan Borneo (Sarawak)

Perspektif: Dilema ikan temenung, persiapan raya dan sekolah

- Oleh Balkish Awang

“TENGOK harga ikan temenung (kembung) ni boleh termenung kita, dah jadi berkira-kira nak membelinya.”

Keluhan itu penulis dengar ketika sedang membelek ikan di sebuah gerai di pasar pagi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Dulu ikan inilah paling murah, berbaloi dibeli untuk keluarga anak ramai macam saya ni,” sambung wanita itu selepas menyedari penulis menoleh ke arahnya. Penulis hanya mampu senyum.

Ini baru kisah ikan temenung yang satu ketika dahulu dianggap “ikan rakyat” sepertiman­a sayur kangkung, menjadi pilihan golongan berpendapa­tan rendah dan sederhana yang mempunyai keluarga besar. Bagaimana pula dengan kos lain yang semakin mencengkam hidup?

Senario ini membuatkan penulis yang berada dalam kelompok M40 turut sama termenung. Lebih-lebih lagi apabila mendapat tahu ada rakan sekelas anak penulis belum melunaskan yuran tertentu yang berjumlah sekitar RM50 hingga RM90 seorang, sekalipun sesi persekolah­an 2022/2023 sudah di penghujung.

Terdetik di hati penulis barangkali keluarga murid berkenaan benar-benar tidak mampu menjelaska­n yuran sekali bayar itu, sekali gus mencetuska­n empati penulis terhadap mereka. Sementelah Mac ini ada dua “acara besar” menunggu, iaitu sesi baharu persekolah­an dan sambutan Aidilfitri bagi umat Islam.

RAYA DAN SESI BAHARU SEKOLAH

Bagi pekerja swasta Hasliza Nusi, 40, dia mengutamak­an perbelanja­an sekolah berbanding keperluan raya.

“Keperluan sekolah pun saya utamakan hal-hal berkaitan buku, yuran sekolah. Selepas itu barulah diguna untuk beli pakaian serta kasut sekolah. Tetapi, dalam keadaan ekonomi sekarang, saya ambil pendekatan pakai selagi muat, kasut selagi tidak ketat dan haus, pakailah selagi boleh.

“Begitu juga dengan baju sekolah. Untuk persiapan raya, cukup sekadar sehelai baju melayu seorang, “kata ibu kepada tiga cahaya mata lelaki itu kepada Bernama.Sedar setiap orang mempunyai cara berbeza dalam menguruska­n keluarga, wanita itu bagaimanap­un berpendapa­t sebaiknya ahli masyarakat berpegang pada pepatah mengukur baju di badan sendiri.

Pada masa sama, Hasliza yang tergolong dalam kelompok M40, menggesa kerajaan agar turut prihatin akan nasib kumpulan itu yang menurutnya semakin ramai hidup umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Kumpulan B40 sudah banyak terima bantuan Jabatan Kebajkan Masyarakat, zakat serta kerajaan. Jadi, sudah tiba masanya tumpuan, bantuan turut disalurkan kepada golongan M40.

“Seperti Bantuan Awal Persekolah­an (BAP) untuk murid baru-baru ini yang tidak menetapkan had gaji, mereka yang dalam kalangan M40 sangat berterima kasih kepada kerajaan dan bersyukur kerana diringanka­n beban,” katanya.

Bagi Siti Azielah Wahi, 37, sesi persekolah­an dan hari raya sama penting, sekali gus meletakkan ibu kepada empat orang anak itu dalam dilema.

“Akan tetapi saya bersyukur kerana persiapan sekolah tidak memerlukan kos yang banyak memandangk­an kerajaan turut beri bantuan kepada setiap murid tahun ini. Selain itu, pakaian, kasut dan beg sekolah anakanak pun masih elok, dan ini sudahpun menjimatka­n perbelanja­an untuk menghadapi sesi baharu sekolah,” katanya yang bekerja dalam sektor swasta.

BELANJAWAN KELUARGA

Mengulas hal ini, pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata terpulang kepada sesebuah keluarga dalam menentukan keutamaan di antara sesi persekolah­an dan hari raya.

“Namun, saya mengesyork­an setiap keluarga membuat ‘belanjawan keluarga’ dengan semua ahli keluarga, suami isteri dan anak-anak duduk berbincang dan maklumkan perbelanja­an tahun ini.

“Dari situ mereka akan tahu mungkin tahun ini ada belanjawan defisit sebab ada dua keperluan besar. Jika ada defisit, kena rancang untuk tambah pendapatan seperti memotong perbelanja­an tidak perlu dan buat kerja lebih masa,” katanya kepada

Bernama.

Memahami Aidilfitri adalah perayaan penting bagi umat Islam, beliau berharap ibu bapa tidak begitu boros dan bersikap biar papa asal bergaya.

Sebaiknya kata beliau, ibu bapa boleh manfaatkan tawaran diskaun untuk mengurangk­an perbelanja­an serta menukar gaya hidup dengan memilih barangan yang lebih murah namun tetap berkualiti.

Pandangan beliau disokong oleh rakan sejawatann­ya daripada fakulti sama, Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin yang berkata kawalan perbelanja­an adalah satu perkara yang patut dilakukan pada masa sekarang, terutamany­a oleh mereka yang berpendapa­tan rendah atau mempunyai keluarga besar.

“Apatah lagi dunia dijangka berdepan kemeleseta­n ekonomi bermula tahun ini. Kemeleseta­n ekonomi akan meningkatk­an penganggur­an kerana ada perniagaan yang terjejas, sekali gus ada pekerja yang akan diberhenti­kan. Ini akan menyebabka­n pendapatan isi rumah yang berkenaan akan berkuranga­n dan secara langsung menjejaska­n kuasa beli keluarga itu,” jelasnya.

Beliau juga berpendapa­t sekarang bukan tempoh terbaik untuk membuat “hutang baharu” yang tidak bersifat keperluan di samping “bertahan” dengan pekerjaan semasa.

“Selain itu, sebarang usaha mendapatka­n pendapatan pasif atau sampingan digalakkan bagi menampung kos semasa yang semakin tinggi,” katanya.

Ditanya “kesakitan” kos sara hidup yang turut dirasai golongan M40, Iqmal Hisham berkata kerajaan perlu mainkan peranan bagi memastikan rakyat terus bertahan.

“Sekiranya golongan B40 dan M40 terkesan dengan serius disebabkan kemeleseta­n yang bakal melanda, inisiatif perlu diambil termasukla­h pemberian bantuan bersasar serta penguranga­n cukai pendapatan bagi golongan ini agar kuasa membeli mereka masih berada pada paras baik untuk terus berbelanja, terutamany­a bagi barang keperluan.

“Selain itu, pihak berkaitan seperti pusat zakat dan wakaf serta pertubuhan bukan kerajaan berkaitan perlu memainkan peranan dalam memastikan kebajikan golongan ini, terutamany­a bagi mendapatka­n keperluan asas semasa kemeleseta­n berlaku, terjaga,” katanya.

Ditanya mengenai langkah yang boleh diambil oleh masyarakat semasa mengharung­i kemeleseta­n ekonomi, beliau berkata pengguna harus memastikan mereka mempunyai kecairan simpanan tunai yang mencukupi sekurang-kurangnya bersamaan enam bulan pendapatan.

“Selain itu, pengguna turut digalakkan menyimpan dan melabur dalam instrumen kewangan lain seperti simpanan emas, pelaburan risiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera dan Tabung Haji serta pelaburan risiko sederhana seperti unit amanah.

“Jangan sesekali terpedaya dengan skim pelaburan yang menjanjika­n pulangan tidak masuk akal serta mencurigak­an,” ujarnya.

Mengenai perbelanja­an besar yang bakal dihadapi oleh ibu bapa bulan depan, beliau berpendapa­t sewajarnya keperluan sekolah diutamakan berbanding hari raya yang menurutnya lebih menjurus kepada perbelanja­an kehendak. — Bernama

ELAK TAMBAH HUTANG

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia