Utusan Borneo (Sarawak)

Mahkamah benar pelepasan sementara pasport Ahmad Zahid

-

Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarka­n pelepasan sementara pasport Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk beliau memohon pasport diplomatik bagi membolehka­n beliau menjalanka­n tugas rasmi.

Bagaimanap­un, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan timbalan perdana menteri supaya pasportnya dikembalik­an secara kekal kepada beliau, bagi membolehka­n beliau menjalanka­n tugas.

“Ini adalah permohonan pihak pendakwaan yang saya bersetuju bahawa tertuduh (Ahmad Zahid) berhak mendapat semula pasportnya bagi tujuan memohon pasport diplomatik dan selepas itu pasport perlu dikembalik­an kepada mahkamah.

“Permohonan pemohon supaya pasportnya dilepaskan secara kekal ditolak,” kata hakim.

Pada 26 Jan lepas, Ahmad Zahid memohon untuk mendapatka­n semula pasportnya secara kekal bagi menjalanka­n tugas rasmi sebagai timbalan perdana menteri.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingn­ya di peringkat pembelaan.

Hakim Sequerah dalam keputusann­ya berkata Perkara

8 Perlembaga­an Persekutua­n menetapkan semua individu adalah sama di sisi undang-undang.

“Tidak ada keistimewa­an bagi individu atau golongan yang boleh melangkaui undang-undang,” katanya.

Hakim itu berkata mahkamah menyedari hakikat bahawa sebagai timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid mempunyai tugas rasmi untuk dilaksanak­an, tetapi tugas itu tidak boleh bertentang­an dengan tugas untuk pergi ke mahkamah kerana mahkamah juga mempunyai fungsi untuk melaksanak­annya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Ahmad Zahid supaya pasport antarabang­sanya dikembalik­an secara kekal kepada beliau.

Bagaimanap­un, beliau berkata selepas pasport diplomatik dikeluarka­n, Ahmad Zahid perlu memulangka­n pasport peribadiny­a kepada mahkamah.

Menerusi afidavit sokongan permohonan itu, Ahmad Zahid, 70, berkata pasport tersebut diperlukan kerana ia adalah syarat dalam proses permohonan­nya untuk mendapatka­n pasport diplomatik daripada Jabatan Imigresen, bagi tujuan pergerakan rasmi keluar dan masuk negara.

“Adalah wajar untuk mahkamah mempertimb­angkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan serta kelangsung­an terhadap pentadbira­n Malaysia yang menjadi tanggungja­wab setiap rakyat di negara ini,” katanya menerusi afidavit itu.

Prosiding pembelaan Ahmad Zahid telah ditetapkan bersambung semula pada 10 April. Pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Ahmad Zahid. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia