Utusan Borneo (Sarawak)

Pindaan Akta Insolvensi 1967 untuk tambah baik sistem pentadbira­n kebankrapa­n

-

Jabatan Insolvensi sedang merangka beberapa cadangan pindaan terhadap Akta Insolvensi 1967 [Akta 360], bagi menambah baik sistem pentadbira­n kebankrapa­n, termasuk pemakaian cadangan pindaan terhadap kes kebankrapa­n terdahulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata antara cadangan pindaan ialah, penetapan had masa pemfailan Borang Bukti Hutang oleh Pemiutang (Seksyen 42 dan Jadual C Akta 360), untuk mengelakka­n isu kelewatan pemfailan yang boleh menyukarka­n pelepasan individu bankrap.

Cadangan lain, membuat penambahba­ikan kepada peruntukan pelepasan automatik di bawah Seksyen 33C Akta 360, agar individu yang bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapa­n dalam tempoh yang lebih singkat.

“Turut dipertimba­ngkan ialah membolehka­n penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi jarak jauh dalam urusan pentadbira­n kes kebankrapa­n, bagi memudahkan urusan pelanggan, pihak berkepenti­ngan dan jabatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Azalina berkata cadangan lain ialah membuat penambahba­ikan kepada Seksyen 42 dan Jadual C Akta 360, dengan memansuhka­n kewajipan untuk mengadakan mesyuarat pertama pemiutang, agar pentadbira­n kebankrapa­n boleh diteruskan dengan segera.

Beliau berkata kerajaan juga mempertimb­angkan untuk menambah kategori kes yang boleh dilepaskan melalui Sijil Pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi (Sijil KPI), tanpa bantahan oleh pemiutang kepada golongan bankrap yang berumur 70 tahun dan ke atas.

Kategori kes yang boleh dilepaskan melalui Sijil KPI itu turut dicadang kepada individu bankrap yang tidak berkeupaya­an, kerana telah disahkan sebagai pesakit mental di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615].

Azalina berkata sesi libat urus bersama pihak berkepenti­ngan untuk membincang­kan hal berkaitan cadangan pindaan yang sedang dipertimba­ngkan, akan diadakan pada 7 Februari 2023.

“Cadangan pindaan kepada Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] dijangka akan dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat, selepas mengambil kira input sesi libat urus,” katanya.

Azalina turut memaklumka­n jumlah kes kebankrapa­n didaftarka­n pada 2018 sehingga 2022 sebanyak 49,133 kes dengan 5,695 kes (2022), manakala jumlah kes dilepaskan Sijil KPI di bawah Seksyen 33A Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] bagi tempoh yang sama, 87,427 kes.

“Berdasarka­n statistik 2022, secara purata sebanyak 16 kes kebankrapa­n didaftar pada setiap hari. Walau bagaimanap­un jumlah kes kebankrapa­n yang dilepaskan melalui Sijil KPI bagi tempoh yang sama secara purata, sebanyak 27 kes bagi setiap hari,” katanya.

Beliau berkata ekonomi, kewangan, perundanga­n dan kemasyarak­atan merupakan elemen yang penting dalam pembuatan dasar Malaysia Madani dan kerajaan mengambil maklum tentang cabaran yang dihadapi golongan yang bankrap dan stigma kebankrapa­n dalam masyarakat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia