Utusan Borneo (Sarawak)

Penganggur cederakan isteri yang mengandung didenda RM2,000

-

KUCHING: Padah mencederak­an isteri yang sedang mengandung lima bulan gara-gara nasi belum masak, seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM2,000 di Mahkamah Majistret semalam.

Majistret Zubaidah Sharkawi memerintah­kan Kirk Hammet Abdul Haris, 25, yang tidak diwakili peguam dan mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut, untuk dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederak­an isterinya yang berusia 26 tahun pada 10 Januari 2024, sekitar jam 9.30 pagi di sebuah rumah di Jalan Cahya Damai,

Petra Jaya di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarka­n fakta kes, tertuduh yang berasa sangat lapar dan hendak makan naik angin apabila mangsa menyatakan bahawa nasi yang ditanaknya belum lagi masak.

Tertuduh seterusnya bertindak di luar kawalan dengan memukul mangsa di bahagian badan, telinga, tulang rusuk sebelah kanan serta bahagian lengan, bahu dan kaki, semua di bahagian kiri.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka melecet di beberapa bahagian di sebelah kiri badan, selain mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian kaki kiri.

Justeru, mangsa yang khuatir akan keselamata­n diri kemudian membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapa­n tertuduh pada 13 Januari 2024.

Difahamkan, tertuduh menyatakan semasa kejadian, dia berada dalam keadaan tertekan kerana baru diberhenti­kan kerja (sebagai mekanik) sejak empat hari sebelum kejadian.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia