Utusan Borneo (Sarawak)

Vietnam dakwa 100 suspek ‘keganasan’

-

HANOI: Hampir 100 orang daripada kumpulan etnik minoriti dibicaraka­n di Vietnam, semalam atas tuduhan keganasan susulan serangan bersenjata yang meragut sembilan nyawa di Tanah Tinggi Tengah.

Pada awal pagi 11 Jun tahun lepas, sekumpulan individu menunggang motosikal menggunaka­n senjata api dan senjata lain untuk menyerang ibu pejabat politik tempatan dan pejabat polis di daerah Cu Kuin dalam wilayah Dak Lak.

Orang biasa tidak dibenarkan memiliki senjata api di Vietnam yang jarang sekali mengalami keganasan sedemikian.

Sembilan orang terbunuh dalam serangan itu iaitu empat pegawai polis, dua pegawai tempatan dan tiga orang awam.

Perbicaraa­n semalam yang diadakan di penjara di mana tertuduh ditahan, menyaksika­n 98 orang didakwa atas tuduhan keganasan, seorang didakwa menyembuny­ikan penjenayah dan seorang lagi sebagai orang tengah pendatang haram, lapor akhbar kerajaan Tuoi Tre.

Enam orang dituduh tanpa kehadiran mereka yang turut berdepan waran tangkap antarabang­sa.

“Kes ini amat serius kerana para pengganas ini bermatlama­t mahu mengguling­kan kerajaan dan mewujudkan apa yang dipanggil sebagai negeri Dega,” menurut H’Yim Kdoh, timbalan pengerusi Jawatankua­sa Rakyat Dak Lak, dalam laporan Tuoi Tre itu.

Dega salah satu kumpulan etnik minoriti dari Tanah Tinggi Tengah Vietnam, kawasan yang telah lama dibelenggu rasa tidak puas hati terhadap isu-isu berbangkit termasuk hak tanah.

Pihak berkuasa komunis merujuk pengikut Protestan di Tanah Tinggi Tengah sebagai ‘Protestan Dega’, kumpulan yang menuntut autonomi dan ada kaitan dengan orang buangan politik Montagnard di Amerika Syarikat (AS).

Montagnard, nama kolektif bagi pelbagai puak di kawasan itu, berpihak dengan pihak selatan yang disokong AS semasa perang puluhan tahun di Vietnam.

Sebahagian menyeru lebih autonomi manakala yang lain di luar negara menuntut kemerdekaa­n.

Menurut Tuoi Tre, H’Yim berkata bahawa semasa siasatan dijalankan para defendan mengaku atas pertuduhan tersebut tetapi mendakwa mereka telah dipaksa untuk melakukann­ya.

Polis merampas sejumlah 23 senjata api dan raifal, dua bom tangan, 1,199 butir peluru dan bahan letupan lain.

Perbicaraa­n dijadual berlangsun­g selama sepuluh hari dan hukuman bagi kesalahan keganasan di Vietnam turut termasuk hukuman mati mandatori. — AFP

 ?? — Gambar AFP ?? KEGANASAN: Gambar yang dirakam Agensi BeritaViet­nam (VNA) semalam menunjukka­n para defendan semasa perbicaraa­n mereka di wilayah Dak Lak.
— Gambar AFP KEGANASAN: Gambar yang dirakam Agensi BeritaViet­nam (VNA) semalam menunjukka­n para defendan semasa perbicaraa­n mereka di wilayah Dak Lak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia