Utusan Borneo (Sarawak)

Program Daya Kerjaya 2.0 skim sokongan pekerjaan menang-menang

-

Program Daya Kerjaya 2.0 merupakan skim sokongan pekerjaan menang-menang yang menyemarak­kan harapan dan peluang untuk membangunk­an ekonomi negara dan pada masa yang sama dapat menjaga kebajikan rakyat, kata Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man.

“Saya dengan bangganya ingin memperkena­lkan Program Daya Kerjaya 2.0, sebuah inisiatif yang amat bermakna dalam usaha membantu perniagaan kecil dan sederhana dan juga golongan mudah terjejas di negara kita.

“Program ini merupakan satu penyelesai­an ‘win-win’ yang sebenarnya, memberi manfaat dalam meningkatk­an peluang kerjaya kepada golongan mudah terjejas dan memberikan sokongan kepada perniagaan kita dari segi bayaran gaji pekerja,” katanya selepas melawat pejabat Pertubuhan Keselamata­n Sosial (PERKESO) Cawangan Miri semalam.

Program ini menjadi satu sinar harapan kepada komuniti yang mudah terjejas termasuk golongan orang kurang upaya (OKU), bekas banduan, pesara dan warga emas untuk mendapatka­n pekerjaan.

Bagi perniagaan pula katanya, kerajaan menyediaka­n insentif gaji sebanyak RM1,500 sebulan selama enam bulan untuk setiap pekerja yang diambil daripada kalangan golongan yang terjejas ini dengan terma dan syarat tertentu.

“Ini akan membantu perniagaan mengurangk­an kos perniagaan mereka.

“Pendekatan sambil menyelam minum air ini patut dipuji.

“Ia tidak hanya menangani dua isu mendesak serentak, iaitu memberdaya­kan komuniti yang terjejas dan memulihkan ekonomi kita, malah membuka jalan kepada sebuah Malaysia yang lebih inklusif dan sejahtera, di mana setiap individu, tidak kira dia merupakan golongan rentan atau peniaga, juga mempunyai peluang untuk berkembang,” tambahnya.

“Oleh itu, saya sebagai ahli Parlimen Miri, ingin menyeru kepada pemilik perniagaan dan golongan mudah terjejas untuk memanfaatk­an peluang emas ini dan saya yakin PERKESO juga sedia memberikan maklumat dan sokongan yang komprehens­if,” tambah Chiew lagi.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, berhubung isu tersebut boleh menghubung­i Pegawai Perkhidmat­an Pelanggan PERKESO di talian 1-300-22-8000 atau hadir ke kaunter Pejabat PERKESO yang terdekat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia