Utusan Borneo (Sarawak)

13 individu ditahan, sindiket judi dalam talian kaut untung RM2.5 juta tumpas

-

Sindiket mempromosi dan pusat panggilan kegiatan perjudian dalam talian dikesan mampu mengaut keuntungan sehingga RM2.5 juta terbongkar dengan penahanan 13 individu warga tempatan dalam dua serbuan berasingan di Pulau Pinang, kelmarin.

Dalam serbuan menerusi Ops Dadu itu, polis menyerbu sebuah premis perniagaan di Jelutong dan kondominiu­m mewah di Quensbay, Bayan Baru dekat sini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata dalam serbuan pertama di Jelutong pada 10.45 pagi, polis menahan empat lelaki dan lima wanita berusia 23 hingga 32 tahun dipercayai sedang bekerja di premis perniagaan itu.

“Dalam serbuan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Kontijen Pulau Pinang dan Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut itu telah berjaya membongkar pusat mempromosi kegiatan perjudian yang telah beroperasi sejak setahun lepas.

“Sindiket itu menyewa premis perniagaan dengan bayaran RM7,000 sebulan dan ia seperti pejabat biasa, sebab itu memang orang tak syak langsung mereka menjalanka­n kegiatan jenayah,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata berdasarka­n siasatan, sindiket itu mempromosi pelbagai permainan dalam talian menerusi aplikasi WeChat dan Facebook kepada pelanggan di Australia dan Bangladesh sehingga mampu menjana pendapatan RM1 juta sebulan.

Katanya, seorang wanita berusia 32 tahun yang ditahan dalam serbuan itu dipercayai ketua yang bertindak merekrut pekerja dengan bayaran gaji RM2,000 hingga RM6,000 sebulan.

“Peranan pekerja di situ adalah hanya membuat promosi pelbagai permainan perjudian dalam talian dan selain mendapat gaji, mereka akan mendapat komisyen bagi setiap promosi yang berjaya kepada pelanggan di luar negara tersebut,” katanya.

Dalam serbuan kedua pada 1.30 tengah hari di kondominiu­m mewah pula, polis menahan empat lelaki berusia 21 hingga 33 tahun yang menjalanka­n kegiatan pusat panggilan kegiatan perjudian dalam talian.

Menurut Khaw, dua lelaki dipercayai dalang bagi kegiatan berkenaan dan telah beroperasi di kondominiu­m itu sejak lima bulan lepas sehingga mengaut keuntungan mencecah RM1.5 juta sebulan.

Menurut Khaw berdasarka­n siasatan, sindiket itu menyewa kondominiu­m dengan bayaran RM5,000 sebulan dan menjadikan ia sebagai pusat panggilan bagi kegiatan perjudian dalam talian dengan sasaran pelanggan di Australia.

“Susulan dua serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan komputer, 32 buah telefon bimbit, modem Internet, buku catatan, kamera litar tertutup (CCTV) dan sembilan buah kereta yang kesemuanya bernilai lebih RM700,000,” katanya sambil menambah siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan dalang utama sindiket berkenaan.

Beliau berkata kesemua yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah dan direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1)(c) dan 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia