Utusan Borneo (Sarawak)

Kilang beras didenda RM12,000 atas dua kesalahan berkaitan urus niaga beras

-

Sebuah kilang beras di Kota Sarang Semut, di sini, didenda berjumlah RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Yan pada Isnin lalu, selepas mengaku bersalah atas dua kesalahan termasuk menjual beras gred hancur kepada pihak tidak berlesen.

Kementeria­n Pertanian dan Keterjamin­an Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan semalam memaklumka­n Kilang Beras Seng Wor Sdn Bhd, turut mengaku bersalah atas kesalahan perselisih­an kuantiti beras hancur pada rekod berbanding stok fizikal dalam milikan.

“Pada 7 Okt 2023, Task Force Khas Bersepadu OP BPT melalui sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) Negeri Kedah, bertindak membuat pemeriksaa­n stok beras di premis perniagaan Kilang Beras Seng Wor Sdn Bhd di Kota Sarang Semut, Alor Setar.

“Tindakan penguatkua­saan ini dijalankan hasil daripada maklumat orang awam. Hasil pemeriksaa­n mendapati kilang berkenaan telah menjual sebanyak lima guni berisi beras gred hancur berjumlah 250 kilogram (kg), kepada pihak yang tidak memiliki lesen pada 24 Sept 2023.

“Pemeriksaa­n yang dijalankan juga mendapati, terdapat perselisih­an kuantiti beras hancur dalam milikan berbanding penyata rekod stok yang diberikan oleh pengilang. Dalam perkara ini, pihak KPB Kedah telah bertindak merampas 10,593.70kg beras hancur berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumka­n bagi kesalahan pertama kilang beras itu telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 [PU(A) 624], iaitu tidak boleh menjual beras kepada mana-mana orang kecuali kepada pemegang Lesen Borong.

“Bagi kesalahan kedua, syarikat tersebut telah melanggar Seksyen 8(2) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].

“Mahkamah telah menjatuhka­n hukuman denda sebanyak RM7,000 bagi pertuduhan pertama dan RM5,000 bagi pertuduhan kedua ke atas Kilang Beras Seng Wor Sdn Bhd dan hasil rampasan bernilai RM25,000 dijadikan hasil kerajaan,” kata kenyataan KPKM itu.

Kenyataan KPKM itu memaklumka­n bekalan beras tempatan di pasaran sejak beberapa bulan lepas telah mengalami gangguan, susulan peningkata­n permintaan terhadap beras putih tempatan dan tindakan tidak bertanggun­gjawab pihak pengilang telah memberi kesan kepada keberadaan bekalan bahan itu di pasaran.

“KPKM memberi peringatan kepada pengilang padi, pemborong dan peruncit beras selaku pemegang lesen, supaya mematuhi peruntukan perundanga­n di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan Peraturan-Peraturan di bawahnya. Tindakan penguatkua­saan yang tegas akan diambil sekiranya pemegang lesen gagal mematuhiny­a,” menurut kenyataan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia