Utusan Borneo (Sarawak)

Wanita didakwa bunuh wanita berwajah serupa untuk palsukan kematian

-

Seorang wanita dibicaraka­n di Jerman kelmarin kerana didakwa membunuh seorang wanita berwajah serupa dengannya yang ditemuinya di media sosial untuk memalsukan kematianny­a sendiri.

Wanita Jerman-Iraq itu dan seorang rakan subahat lelaki didakwa mengumpan mangsa berusia 23 tahun dari rumah mangsa, membawanya ke kawasan hutan dan menikamnya beberapa kali sehingga mati.

Mereka kemudian meletakkan mayat itu di dalam kereta wanita Jerman-Iraq itu untuk menampakka­n seolaholah dia telah dibunuh.

Peguam bela wanita itu meminta agar perbicaraa­n digantung kerana mereka telah menerima dokumen terlalu lewat, kata jurucakap mahkamah di bandar Ingolstadt Bavaria.

Kes itu mula diketahui pada Ogos 2022 apabila mayat mangsa ditemui.

Polis pada mulanya percaya mangsa merupakan pemilik kereta itu, tetapi keesokan harinya mengenal pasti mangsa sebagai orang lain yang kelihatan sangat serupa.

Wanita Jerman-Iraq itu dan seorang lelaki Kosovo, kedua-duanya berusia 23 tahun, ditahan kerana disyaki membunuh.

Bagaimanap­un, selepas siasatan lanjut polis percaya pasangan itu telah membunuh mangsa selepas menjejakin­ya secara dalam talian.

“Penyiasat kini percaya suspek wanita itu mahu bersembuny­i dan memalsukan kematianny­a kerana masalah keluarga,” kata mereka dalam satu kenyataan pada Januari 2023.

Suspek telah menghubung­i beberapa wanita yang kelihatan sepertinya melalui media sosial dan cuba mengumpan mereka untuk bertemu dengannya dengan membuat temu janji palsu, kata polis.

Dia telah menghubung­i mangsa pada awal Ogos dan mengatur pertemuan mereka pada 16 Ogos. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia