Utusan Borneo (Sarawak)

Perancis bakal laksana pemakaian mandatori baju seragam sekolah

- — AFP

PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron kelmarin mengumumka­n percubaan pemakaian baju seragam sekolah di 100 institusi pendidikan dengan tujuan untuk mewajibkan­nya di seluruh negara jika berjaya.

“Baju seragam sekolah, yang memadamkan perbezaan antara keluarga dan pada masa yang sama mewujudkan peraturan untuk menghormat­i, akan dicuba mulai tahun ini di sekitar 100 sekolah secara sukarela,” katanya kepada wartawan.

Jika eksperimen itu menunjukka­n hasil yang positif, langkah itu akan dilaksanak­an di seluruh negara pada 2026, katanya pada sidang akhbar yang bertujuan untuk memulihkan musim keduanya dalam jawatan.

Baju seragam tidak pernah diwajibkan di semua sekolah di Perancis.

Wanita Pertama Brigitte Macron, bekas guru drama, turut menyokong pengenalan baju seragam sekolah.

“Perancis akan menjadi lebih kuat, jika kita lebih bersatu, jika kita belajar semula untuk berkongsi nilai, budaya bersama, hormat-menghormat­i dalam bilik darjah, di jalanan, dalam pengangkut­an awam dan di kedai,” katanya sambil menekankan kepentinga­n pendidikan.

“Setiap generasi rakyat Perancis mesti mempelajar­i maksud republik itu,” tambah Macron, sambil menjanjika­n pendidikan sivik dua kali lebih banyak di sekolah bermula tahun akademik baharu.

Beliau mahu memastikan semua kanak-kanak mempelajar­i lagu kebangsaan Perancis ‘La Marseillai­se’ seawal sekolah rendah.

Presiden berharap untuk mewajibkan subjek drama di sekolah mulai September depan kerana ia mewujudkan keyakinan, mengajar pengucapan awam dan hubungan dengan teks.

Kerajaan juga akan menetapkan langkah untuk menentukan penggunaan skrin yang baik untuk anak-anak demi masa depan masyarakat dan demokrasi.

Komen Macron dibuat selepas Gabriel Attal, 34, menjadi perdana menteri termuda Perancis minggu lalu, selepas hanya beberapa bulan menjadi menteri pendidikan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia