Utusan Borneo (Sarawak)

Permohonan MUDA rujuk siasatan terhadap hakim kepada Mahkamah Persekutua­n ditolak

-

Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan MUDA untuk merujuk beberapa persoalan Perlembaga­an berkaitan siasatan terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali kepada Mahkamah Persekutua­n.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membuat keputusan itu selepas mendapati tiada merit dalam permohonan MUDA.

Beliau berkata persoalan yang ingin dirujuk adalah bersifat akademik kerana pandangan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diganti oleh keputusan Mahkamah Persekutua­n dalam keputusan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri

Najib Tun Razak membabitka­n penyelewen­gan dana SRC Internatio­nal Sdn Bhd.

“Justeru, mahkamah berpendapa­t persoalan terbabit tidak harus dipertimba­ng oleh mahkamah ini atau dirujuk kepada Mahkamah Persekutua­n mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya.

Ahmad Kamal juga berkata, kuasa untuk mentafsirk­an peruntukan Perlembaga­an bukan secara eksklusif terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutua­n.

“Di bawah struktur asas Perlembaga­an, Mahkamah Persekutua­n secara amnya adalah mahkamah terakhir bagi merujuk semua persoalan berkaitan perlembaga­an.

Oleh itu, mahkamah mendapati permohonan ini tiada merit di sisi undang-undang dan dengan ini, ditolak,” katanya.

Beliau kemudian menetapkan 6 Feb untuk pengurusan kes.

Pada 25 April tahun lepas, MUDA memfailkan permohonan untuk merujuk isu perlembaga­an terbabit bagi menentukan sama SPRM mempunyai kuasa untuk menyiasat seorang hakim mahkamah atasan yang masih berkhidmat kerana melanggar Kod Etika Hakim 2009 dan mendengar kes meskipun mempunyai konflik kepentinga­n.

MUDA telah memfailkan saman pemula pada 12 April tahun lepas memohon deklarasi bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa atau bidang kuasa untuk menyiasat penemuan atau pandangan bahawa Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutua­n yang sedang berkhidmat telah melanggar Kod Etika Hakim 2009 dan berdepan konflik kepentinga­n ketika mendengar kes tertentu.

MUDA turut memohon deklarasi bahawa penemuan atau pandangan SPRM bahawa Mohd Nazlan telah melanggar Kod Etika Hakim atau berdepan konflik kepentinga­n ketika mendengar kes SRC Internatio­nal Sdn Bhd adalah tidak sah dan tidak berperlemb­agaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia