Utusan Borneo (Sarawak)

Ahli perniagaan rugi RM24,250 tertipu tender projek tidak wujud

-

MIRI: Gara-gara tertarik dengan tawaran tender projek bagi membekalka­n barangan elektrik, seorang ahli perniagaan wanita di sini menanggung kerugian berjumlah RM24,250 selepas ditipu oleh sindiket penyamaran dalam talian.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerima laporan polis berhubung kes terbabit daripada mangsa berusia lingkungan 50-an kelmarin.

“Mangsa pada mulanya telah menerima panggilan telefon daripada orang tidak dikenali (suspek) yang memperkena­lkan diri dan mengaku dari pejabat pendidikan daerah yang menawarkan tender projek membekalka­n barangan elektrik kepada pejabat.

“Mangsa juga telah diperkenal­kan oleh suspek sama untuk berurusan dengan pembekal barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Alexson berkata, mangsa hanya menyedari dirinya telah diperdaya selepas membuat semakan terhadap projek terbabit dan mendapati projek membekalka­n barangan elektrik itu tidak wujud.

“Akibat kejadian ini, mangsa telah mengalami kerugian sehingga berjumlah RM24,250.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan sebat, dan juga denda,” ujarnya.

Oleh itu, Alexson menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mendedahka­n atau memberikan sebarang butiran kewangan kepada mana-mana pemanggil yang tidak dikenali.

“Berhati-hati dan sentiasa mengambil langkah berjagajag­a apabila berurusan melalui atas talian khasnya jika pemanggil mendakwa sebagai rakan, kenalan, pihak penghantar­an, pihak penguatkua­sa undang-undang mahupun pihak mahkamah.

“Buat semakan dan pengesahan awal kepada pihak terlibat jika perlu,” nasihatnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia