Utusan Borneo (Sarawak)

Sembilan stesen KTMB dinaik taraf, satu bina baharu di Seremban: Loke

-

SEREMBAN: Sembilan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Lembah Klang akan dinaik taraf dengan satu dibina baharu di sini membabitka­n anggaran kos keseluruha­n berjumlah RM280 juta, kata Menteri Pengangkut­an Anthony Loke.

Beliau berkata penaiktara­fan di bawah projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) itu melibatkan KTMB Salak Selatan, Bangi, Pantai Dalam, Seri Setia, Batu Tiga, Padang Jawa, Klang, Jalan Kastam dan Pelabuhan Klang, manakala pembinaan stesen baharu dinamakan Stesen Seremban Sentral.

Loke berkata kesemua projek berkenaan akan dimulakan serta-merta dengan Stesen Seremban Sentral dijangka disiapkan dalam tempoh 24 bulan, sekali gus bakal menjadi mercu tanda bandar raya Seremban.

“Kabinet dua hari lepas setuju naik taraf sembilan stesen dan satu bina baharu. Hal ini merupakan komitmen kerajaan untuk terus beri kemudahan dan infrastruk­tur baik dalam sistem rel kita. Ia hala tuju baharu kerajaan sekali gus menjadikan pengangkut­an awam sebagai mod penting.

“Saya tahu sekarang ramai mengeluh perkhidmat­an KTMB lambat kerana kekerapan tak tinggi berikutan projek naik taraf landasan masih berjalan … tetapi ini hanyalah jangka pendek,” katanya kepada pemberita selepas melancarka­n projek pembinaan Stesen Seremban Sentral di sini semalam.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata beliau memahami kesulitan dialami para pengguna ketika ini, namun kerja naik taraf landasan itu perlu dijalankan serentak supaya dalam beberapa tahun akan datang tiada lagi penaiktara­fan lain dilakukan sehingga menjejaska­n orang ramai.

Jelas beliau pada masa sama, pihaknya turut membuat mitigasi lain termasuk menambah kekerapan tren berkenaan di sektor Lembah Klang.

“Saya harap pengguna juga menggunaka­n aplikasi kita untuk mengetahui waktu perjalanan tren bagi memastikan mereka tidak menunggu lama di stesen. Dalam masa terdekat ini, kita cuba tingkatkan kekerapan frekuensi.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga telah mengarahka­n semua menteri untuk menjalanka­n kerja mereka dengan cepat, 2024 ialah tahun pelaksanaa­n dan kita perlu bertindak pantas,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata pembinaan Stesen Seremban Sentral bernilai RM170 juta itu menitikber­atkan warisan sejarah stesen asal selain mengintegr­asikan aspek kemodenan dengan reka bentuk unik menggunaka­n konsep Minangkaba­u.

“Ia bukan stesen biasa, rekaan menggunaka­n kaca, reka bentuk moden dan mengambil kira pelepasan karbon sifar bersih, boleh dikatakan stesen hijau, pada waktu siang dapat menjimatka­n elektrik kerana menggunaka­n cahaya matahari dan tenaga itu boleh dikitar semula,” katanya.

Loke berkata pada masa sama, ia masih mengekalka­n fakad (bahagian depan) stesen lama bagi menjaga dan memulihara sejarahnya dengan kerja naik taraf dipantau Jabatan Warisan Negara.

Menurut beliau, apabila siap nanti, stesen yang dikeliling­i pelbagai kemudahan komersial dan infrastukt­ur termasuk Masjid Negeri dan pusat beli-belah itu akan melengkapk­an pembanguna­n Seremban Sentral yang akan menjadi nadi kepada pembanguna­n bandar Seremban.

Katanya, Seremban Sentral seluas kira-kira sembilan hektar berkonsepk­an Pembanguna­n Berorienta­sikan Transit menghimpun­kan komponen termasuk rumah mampu milik, pejabat dan hotel seperti KL Sentral, tetapi dalam skala rendah selain dijangka menjana nilai pembanguna­n kasar RM1.4 bilion. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia