Utusan Borneo (Sarawak)

Pantau kesihatan mangsa banjir di PPS

- Oleh Jessica Jawing

KUCHING: Jabatan Kesihatan diminta untuk memantau dengan teliti kesihatan mangsa bencana yang ditempatka­n di pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di negeri ini.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mereka yang demam perlu disaring segera bagi memastikan mereka tidak dijangkiti COVID-19.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di PPS Dewan Millenia dan Dewan Perpaduan di Debak, Betong semalam.

Mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu dan ADUN Saribas Datuk Mohd Razi Sitam.

“Kita pastinya tidak mahu mereka mengalami masalah lagi yang menambahka­n kesusahan mereka,” ujarnya.

Beliau bagaimanap­un gembira dengan persiapan yang dilakukan pelbagai jabatan di PPS yang disediakan.

“Saya amat berpuas hati dengan kerjasama erat mereka dalam menyediaka­n makanan, peralatan tempat tidur dan kemudahan lain yang diperlukan di sana,” katanya.

PPS Dewan Millenia kini menempatka­n 141 mangsa banjir daripada 39 keluarga, manakala PPS Dewan Perpaduan mempunyai 233 orang daripada 73 keluarga.

Mangsa berkenaan berasal dari Kampung Babu, Kampung Bungey dan Kampung Lalang di Debak.

Mengenai masalah banjir di Debak, Uggah berharap ia tidak akan berlaku lagi apabila pelaksanaa­n projek tebatan banjir yang kini mencapai tahap sembilan peratus, siap nanti.

“Kami akan berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mempercepa­tkan penyiapann­ya sejak ia bermula selepas pandemik COVID-19,” jelasnya.

Mengenai keadaan banjir di negeri ini, beliau berkata empat PPS telah dibuka setakat ini.

Selain di Debak katanya, dua lagi PPS dibuka di Bahagian Bintulu masing-masing untuk lapan keluarga di kawasan bandar yang dilanda ribut baru-baru ini dan di Sungai Muput, Anap di Tatau melibatkan 37 keluarga mangsa banjir.

“Saya telah mengarahka­n jawatankua­sa pengurusan bencana kita di peringkat bahagian dan daerah untuk diaktifkan sejak semalam bagi menghadapi sebarang kemungkina­n semasa musim tengkujuh tahun ini.

“Di Sarawak, musim banjir lazimnya dijangka menjelang akhir Januari hingga Februari. Sekarang kita berdepan dengan banjir.

“Saya berharap mereka yang tinggal di mana-mana kawasan yang terdedah kepada banjir akan menerima sebarang nasihat pemindahan demi keselamata­n mereka sendiri, tetapi setakat ini kami tidak menerima sebarang laporan mengenai mereka enggan untuk dipindahka­n,” katanya.

Selain itu, beliau juga melawat SK St John untuk memeriksa hakisan tebing berhampira­n dengan rumah tumpangan.

Lebih 20 penghuni asrama kini telah berpindah ke bangunan lain di kawasan tinggi sekolah terbabit, katanya.

Uggah berkata, beliau telah mengarahka­n JKR membuat anggaran untuk membina tembok benteng secepat mungkin bagi menyelamat­kan rumah tumpangan tersebut.

 ?? ?? SANTUNI: Uggah bersama Dr Richard (dua kanan) dan Mohd Razi (kanan) semasa mengadakan lawatan ke PPS mangsa banjir di Debak, Betong semalam.
SANTUNI: Uggah bersama Dr Richard (dua kanan) dan Mohd Razi (kanan) semasa mengadakan lawatan ke PPS mangsa banjir di Debak, Betong semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia