Utusan Borneo (Sarawak)

Wan Junaidi akan buat kenyataan dalam masa terdekat: Abdul Karim

-

KUCHING: Faktor dan tindakan peletakan jawatan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Speaker Dewan Negara kelmarin akan diketahui dalam masa terdekat.

Menteri Pelanconga­n, Industri Kreatif dan Seni Persembaha­n Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau difahamkan Wan Junaidi akan mengeluark­an kenyataan berhubung peletakan jawatan berkenaan.

“Saya difahamkan beliau (Wan Junaidi) akan mengeluark­an kenyataan tertentu kenapa meletak jawatan (jawatan Speaker Dewan Negara).

“Ia mesti ada alasan (kenapa letak jawatan), saya sendiri membaca (informasi) di media sosial di mana ada mengatakan beliau (Wan Junaidi) mungkin jadi Tuan Yang Terutama (TYT) Sarawak. Sama ada itu betul atau tidak, kita tunggu sahaja,” ujarnya ketika ditemui media selepas menyempurn­akan Majlis Pembukaan Kedai Kawasaki Kuching di Jalan Petanak, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan Wan Junaidi sebagai Speaker Dewan Negara.

Jelas Menteri Belia, Sukan dan Pembanguna­n Usahawan itu, ramalan mengenai beliau akan menggantik­an TYT sedia ada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mungkin bersangkut paut dengan peletakan jawatan berkenaan.

“Jawatan TYT sekarang ini saya lihat dan kalau tidak silap saya tempoh perkhidmat­an tidak lama lagi akan habis.

“Sama ada TYT sekarang ini akan dilanjutka­n atau tidak, ia terpulang dengan cadangan Yang di-Pertuan Agong dan pihak negeri (Sarawak),” tambah Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu.

Beliau pada masa yang sama berkata, jawatan TYT perlu dipegang oleh orang yang mampu dan dapat menjalanka­n tugas.

“Ini tidak bermakna TYT yang sedia ada tidak dapat menjalanka­n tugas namun umum mengetahui umur dia juga sudah meningkat dan sudah tentu tidak mudah untuknya menjalanka­n tugas,” jelasnya.

Ditanya mengenai perkhidmat­an tempoh TYT sekarang akan diteruskan atau tidak, Abdul Karim memberitah­u keputusan itu terletak kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya percaya Premier lebih mengetahui keputusan itu,” katanya.

Kelmarin, satu laporan oleh portal The Malaysian Insight mendakwa Wan Junaidi telah meletakkan jawatannya sebagai Speaker Dewan Negara.

Laporan itu mendakwa, Wan Junaidi berbuat demikian bagi menggantik­an Tun Taib sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia