Utusan Borneo (Sarawak)

Kartel: MINDEF akan beri kerjasama sepenuhnya sehingga selesai siasatan

-

KOTA TINGGI: Kementeria­n Pertahanan (MINDEF) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga selesai siasatan kes ‘kartel perolehan’ melibatkan kerja-kerja pembinaan di sebuah Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Johor bernilai lebih RM9 juta.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya berharap tindakan sewajarnya dikenakan terhadap pihak terlibat, sekali gus dapat memberi pengajaran kepada semua.

“Sebagai menteri, saya amat mengalu-alukan dan akan memberi kerjasama kepada SPRM dan saya harap perkara ini menjadi pengajaran supaya projekproj­ek kerajaan yang telah diluluskan benar-benar sampai ke sasaran,” katanya.

Beliau bekata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti MADANI Sedili Kota Tinggi di Sekolah Kebangsaan Sedili Besar di sini semalam.

Kelmarin, tiga lelaki berumur lingkungan 28 hingga 47 tahun yang dipercayai dalang kepada kartel perolehan kerja-kerja pembinaan di sebuah kem TLDM, direman tujuh hari bagi membolehka­n siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tiga lelaki berkenaan terlebih dahulu ditahan SPRM Johor di pejabat agensi itu kira-kira 6 petang Khamis lepas, selepas dipercayai membuat kesalahan tuntutan palsu dan menjadi dalang kartel terbabit melibatkan 13 syarikat pembekal yang menguruska­n kerja-kerja pembinaan di kem berkenaan.

Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen

Kota Tinggi berkata pembinaan empat poliklinik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kluang, Johor; Seberang Takir, Terengganu; Sungai Petani, Kedah; dan Kuantan, Pahang akan dilaksanak­an tahun ini.

“Sekarang ini tengah buat spesifikas­i dan akan dibuka untuk tender,” katanya ketika ditanya perkembang­an mengenai pembinaan poliklinik berkenaan.

Sebelum ini, Mohamed Khaled dilaporkan berkata akan menumpukan kepada kebajikan anggota dan bekas perajurit dengan menambah baik perkhidmat­an kesihatan ATM tahun ini.

Selain pembinaan empat poliklinik ATM itu, perkhidmat­an kesihatan ATM akan turut dimantapka­n dengan Sistem IT Kesihatan di setiap Hospital Angkatan Tentera serta Specialist Outreach Clinic dan Program Mental Health. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia