Utusan Borneo (Sarawak)

MB Inc arah kuari ditutup sementara, atasi pencemaran air di perkampung­an Orang Asli

-

TAIPING: Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) mengeluark­an arahan kepada operator dilantik supaya memberhent­ikan sementara pengoperas­ian kuari susulan aduan sumber air tercemar yang dihadapi penduduk Orang Asli Kampung Kelatap, Pos Perwor dekat Sungai Siput.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata notis tersebut dikeluarka­n oleh pihak MB Inc pada 12 Jan lepas bagi memastikan kerjakerja pemulihan dilaksanak­an serta-merta.

“Antara kerja-kerja pemulihan yang perlu disegeraka­n termasukla­h meratakan tanah di kawasan yang telah dibuka selain membina ban bagi mengelak berlakunya laluan air mengalir ke kawasan tadahan air.

“Kerja-kerja ini juga telah dijalankan sejak 13 Jan lepas sehingga kini oleh pihak operator yang melaksanak­an projek tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke150 Bandar Taiping di sini, semalam.

Beliau berkata melalui siasatan, pencemaran didapati berlaku akibat pembukaan tanah bagi kolam mendapan di kawasan yang sepatutnya tidak disentuh dan pelepasan sisa buangan daripada tangki septik yang tidak mengikut spesifikas­i ditetapkan dalam kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

“Siasatan dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta pihak MB Inc dan daripada dapatan maklumat, kita akui pencemaran berlaku akibat daripada dua faktor tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kelulusan bagi projek perlombong­an kuari itu telah bermula sejak September tahun lalu setelah mendapat kelulusan daripada agensi teknikal berkaitan.

“Kita harapkan segala kerjakerja pemulihan ini dapat dilaksanak­an sebaiknya dan paling penting penduduk Orang Asli di kawasan itu akan kembali mendapat bekalan air bersih sepertiman­a sebelum ini,” katanya.

Semalam, lebih 100 penduduk Orang Asli Kampung Kelatap, Pos Perwor dekat Sungai Siput bimbang dengan ancaman penyakit apabila sumber air bukit kegunaan harian mereka didakwa telah tercemar akibat projek kuari tersebut.

Penduduk mendakwa sudah lebih dua tahun menggunaka­n air yang dicemari najis dan bahan buangan daripada tandas rumah kongsi pekerja di tapak projek tersebut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia