Utusan Borneo (Sarawak)

Arteta: Arsenal akan kembali dengan kuasa penuh selepas cuti musim sejuk

-

LONDON: Mikel Arteta menegaskan bahawa Arsenal akan kembali memburu kejuaraan Liga Perdana dengan kuasa penuh selepas cuti musim sejuk di Dubai.

Pasukan Arteta mengekori Liverpool dengan lima mata selepas mencatatka­n tiga kekalahan berturuttu­rut dan satu kemenangan daripada tujuh perlawanan terakhir mereka dalam semua pertanding­an.

Gunners yang kini menduduki tempat keempat telah tersingkir daripada pusingan ketiga Piala FA oleh Liverpool sebelum berlepas ke Dubai untuk kem latihan cuaca panas.

Dengan Crystal Palace melawat Stadium Emirates pada hari Sabtu, Arteta yakin pemainnya lebih bertenaga kerana mereka berada di bawah sinar matahari manakala seluruh England menggigil dalam musim sejuk.

“Kami bertenaga, penuh tenaga dan bermotivas­i tinggi jadi kami mahu menyerang pada separuh kedua musim ini dengan banyak cita-cita dan pemahaman bahawa pasukan ini mampu melakukan perkara yang besar. Mereka yakin akan perkara itu,” kata Arteta kepada pemberita kelmarin.

“Ia kem yang luar biasa. Kami mengecas semula bateri kami dan dari konteks persekitar­an, dalam cuaca yang indah, ia membantu. Kami rapat dan detik yang kami kongsi bersama amat baik, jadi ya, kami dicas semula sepenuhnya.”

Selepas mengunggul­i carta Liga Perdana pada bulan Disember, Arsenal telah kehilangan arah dalam usaha mereka memburu gelaran pertama sejak 2004.

Kekurangan gol telah menjadi isu utama, dengan hanya lima gol dalam tujuh perlawanan mereka.

Bagaimanap­un, penyerang Brazil, Gabriel Jesus akan kembali daripada kecederaan lutut yang memaksanya tidak bermain. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia