Utusan Borneo (Sarawak)

100 dihukum penjara berhubung serangan di balai polis Vietnam

-

Vietnam menghukum penjara hampir 100 orang atas tuduhan keganasan berhubung tembakan di balai polis di Tanah Tinggi Tengah negara itu yang menyebabka­n sembilan orang terbunuh tahun lepas, kata media kerajaan pada Sabtu.

Penyerang bermotosik­al menyerbu pejabat polis dan politik di wilayah Dak Lak pada Jun tahun lalu dalam insiden pergolakan ganas yang jarang-jarang berlaku di Vietnam yang dikuasai komunis itu.

Pada akhir perbicaraa­n lima hari di penjara di mana tertuduh telah ditahan, 10 defendan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup manakala 90 yang lain dijatuhi hukuman antara sembilan bulan hingga 20 tahun penjara, lapor VNExpress.

Dalam kalangan tertuduh, 98 didakwa melakukan keganasan, seorang menyembuny­ikan jenayah dan seorang lagi memudahkan kemasukan pendatang tanpa izin.

Kesemuanya adalah daripada kumpulan etnik minoriti yang berasal dari Tanah Tinggi Tengah, dan mahkamah menuduh mereka berusaha untuk “mengguling­kan negeri”. Umur mereka antara 18 hingga 56 tahun.

Enam defendan masih melarikan diri dan dibicaraka­n tanpa kehadiran mereka. Waran tangkap antarabang­sa telah dikeluarka­n untuk mereka.

VNExpress berkata, defendan telah menyertai kumpulan Dega Askar pada awal Jun 2023, berkumpul di dalam hutan untuk latihan separa tentera, termasuk seni mempertaha­nkan diri dan membuat bom.

“Kes itu amat serius, dengan pengganas bertujuan untuk mengguling­kan negeri, untuk menubuhkan apa yang dipanggil mereka sebagai negara Dega,” menurut keputusan itu.

Mahkamah memutuskan bahawa kebanyakan defendan melakukan jenayah mereka kerana “kekurangan pemahaman”, mempersala­hkan kumpulan reaksioner yang berpangkal­an di AS kerana cuba memikat, mengancam atau memaksa mereka ke dalam serangan.

Dega adalah salah satu kumpulan etnik minoriti dari Tanah Tinggi Tengah Vietnam, kawasan yang telah lama menjadi sarang rasa tidak puas hati berhubung isu termasuk hak tanah.

Pihak berkuasa komunis merujuk kepada pengikut Protestant­isme di Central Highlands sebagai “Protestan Dega” - kumpulan yang mencari autonomi daripada negeri dan dikaitkan dengan buangan politik Montagnard di Amerika Syarikat.

Montagnard - nama untuk pelbagai puak di kawasan itu - memihak kepada kawasan selatan yang disokong AS semasa perang Vietnam yang berterusan selama beberapa dekad. Ada juga yang meminta lebih banyak autonomi, sementara yang lain di luar negara menyokong kemerdekaa­n untuk kawasan ini.

Selepas kejadian maut itu, polis berkata mereka merampas sejumlah 23 senjata api dan senapang, dua bom tangan, lebih 1,000 peluru dan bahan letupan lain.

Orang ramai tidak dibenarkan memiliki senjata api di Vietnam dan keganasan senjata api sangat jarang berlaku.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia