Utusan Borneo (Sarawak)

Pan Gon tetap akur kegagalan Malaysia

-

AL RAYYAN (QATAR): Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengambil sepenuhnya tanggungja­wab kegagalan Malaysia pada kempen Piala Asia 2023 selepas tewas 0-1 kepada Bahrain pada perlawanan kedua Kumpulan E di sini, malam kelmarin.

Kekalahan di Stadium Jassim bin Hamad itu menutup peluang Malaysia untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik apabila merakam dua kekalahan berturut-turut selepas tumpas 0-4 kepada Jordan, Isnin lepas.

Jurulatih dari Korea Selatan berusia 54 tahun itu tidak menyalahka­n sesiapa kecuali dirinya yang mempunyai jangkaan tinggi terhadap barisan pemain untuk cuba mencipta kejutan dan sejarah di sebalik realiti di atas kertas.

“Tiada apa yang salah, di sinilah kami berada, mungkin sebagai jurulatih saya silap. Saya mempunyai terlalu banyak jangkaan...memberi terlalu banyak impian kepada pemain saya kepada orang ramai (rakyat Malaysia), itu masalah saya.

“Tiada apa-apa (salah) daripada FA (Persatuan Bolasepak Malaysia), daripada pemain atau orang ramai, ini masalah jurulatih,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini malam kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya di mana silapnya selepas Malaysia menikmati rekod prestasi memberangs­angkan menjelang kempen di sini, selain membuat persiapan rapi dengan menjalani kem latihan pusat selama tiga minggu termasuk dua minggu di Doha.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Pan Gon merasakan Malaysia sekurangku­rangnya mampu mencatat keputusan seri selain menganggap anak-anak buahnya gagal mendominas­i permainan.

Namun, dari sudut positif beliau melihat penampilan Malaysia pada edisi kali ini memberi pengalaman berguna kepada pemain muda yang masih berpeluang beraksi pada edisi akan datang selepas ini.

Pemain tengah Ali Madan muncul wira Bahrain apabila menjaringk­an gol kemenangan skuad Dilmun’s Warriors bimbingan Juan Antonio Pizzi pada minit-minit akhir masa kecederaan separuh masa kedua menyaksika­n penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed gagal menyelamat­kan bola dari sudut mudah.

Sementara itu, lebih 2,000 penyokong bola sepak tempatan menyaksika­n aksi Malaysia dan Bahrain disiarkan secara langsung menerusi skrin besar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam kelmarin.

Menerusi tinjauan Bernama, orang ramai mula hadir seawal jam 8 malam dengan masing-masing mengenakan baju berwarna kuning yang merupakan identiti skuad Harimau Malaya.

Suasana gamat turut didengar menggegar gelanggang keramat itu sejurus perlawanan bermula jam 10.30 malam.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim dan barisan kepimpinan Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS). — Bernama

 ?? ?? PAN GON
PAN GON

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia