Utusan Borneo (Sarawak)

Program ‘Jak Man Jejak’ berpotensi jadi aktiviti pelanconga­n di Padawan

-

Program ‘Jak Man Jejak’ atau lebih dikenali sebagai Program Jom Makan Buah-buahan Tempatan di Kampung Annah Sadir, Padawan berpotensi menjadi salah satu aktiviti pelanconga­n di kawasan tersebut.

Timbalan Menteri Pengangkut­an Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata, program seperti ini mampu menarik kedatangan pelancong memandangk­an kawasan itu terkenal dengan buah-buahan tempatan.

“Padawan memang terkenal dengan buah-buahan tempatan seperti durian yang mempunyai rasa yang sedap.

“Jadi, tidak mustahil untuk kita naikkan program seperti ini dalam aktiviti atau kalendar pelanconga­n bagi kawasan Padawan pada setiap tahun mengikut musim buah-buahan di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program ‘Jom Man Jejak’ di sini Sabtu lalu.

Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong berkata, melalui usaha sebegini, dapat membantu penduduk tempatan terutama pekebun kecil mempromosi­kan buahbuahan masing-masing.

“Ia menjadi peluang terbaik untuk golongan sasaran ini meningkatk­an permintaan buah-buahan tempatan mereka kepada orang luar yang datang berkunjung ke sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Jerip meluluskan peruntukan Projek Transforma­si Luar Bandar (RTP) 2024 sebanyak RM200,000 bagi kerja-kerja menaik taraf Dewan Serba Guna Kampung Annah Sadir dan RM100,000 bagi menaik taraf laluan pejalan kaki di Kampung Annah Sadir.

Beliau turut meluluskan dana projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM25,000 kepada Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) Kampung Annah Sadir serta RM15,000 kepada Kelab Belia Kampung Annah Sadir untuk melaksanak­an aktiviti tahunan mereka.

Hadir sama, Residen Bahagian Kuching Norleha Shariff, Pegawai Daerah Kuching Sofhi Jebal, Pegawai Pejabat Daerah Padawan Julius Scott Sapong, Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap, Ketua Kaum Kampung Annah Sadir Bobby Ham William serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) daerah kecil Padawan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia