Utusan Borneo (Sarawak)

Ahli majlis PBT dicadang berkhidmat di zon masing-masing: Dr Sim

-

Kementeria­n Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bercadang menugaskan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk berkhidmat di zon masing-masing berbanding kawasan pilihan raya.

Menterinya Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ini adalah untuk membolehka­n penduduk mengenal pasti ahli majlis mereka dan dapat berkomunik­asi dengan mudah.

“Sebagai contoh di bawah Kota Sentosa, sebahagian daripada kawasan pilihan rayanya adalah di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan sebahagian lagi di bawah Majlis Perbandara­n Padawan (MPP).

“Jadi saya memutuskan untuk ahli majlis ditugaskan mengikut zon supaya mudah untuk penduduk berhubung dengan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Nyalaan Lampu MBKS di Patung Kucing Putih Padungan di sini, kelmarin.

Dr Sim yang juga Timbalan

Premier Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah berkata, beliau sudah memaklumka­n perkara ini kepada Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng serta datuk bandar di Sibu dan Miri.

“Saya memberitah­u mereka (datuk bandar), kita mesti cuba yang terbaik untuk memastikan nama ahli majlis mengikut zon serta nombor untuk dihubungi tersedia kepada orang awam.

“Mereka mesti tahu ahli majlis masing-masing dan bukannya tahu datuk bandar sahaja,” katanya.

Terdahulu, Dr Sim menyertai majlis menyalakan lampu di Patung Kucing Putih Padungan yang dipakaikan dengan kostum merah sempena Tahun Baharu Cina yang akan datang.

Tahun ini, patung popular dan ikonik itu turut disertai dengan patung ‘Eco-Dragon’ yang dibuat daripada pelbagai bahan kitar semula bagi meraikan Tahun Naga tahun ini.

Hadir sama Wee bersama timbalanny­a Datuk Dr Zaiedi Suhaili serta yang lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia