Utusan Borneo (Sarawak)

Mesra dan prihatin rakyat, sifat semula jadi Al-Sultan Abdullah

-

dan cakna kesejahter­aan rakyat” itulah keperibadi­an Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Berkongsi pengalaman sebagai antara individu yang begitu dekat dengan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h, bekas Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata istilah ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ jelas terserlah sepanjang tempoh pemerintah­an Al-Sultan Abdullah.

“Selama tempoh pemerintah­an, itulah baginda (yang sebenar). Itu adalah sifat semula jadi baginda, sebagai Sultan Pahang, baginda yang akan turun untuk sama-sama membantu rakyat, khususnya ketika berlaku malapetaka seperti banjir, kebakaran bahkan kemalangan.

“Apabila berlaku banjir khususnya di Pahang, Tuanku akan turun untuk bersama-sama dengan rakyat bagi mengharung­inya. Malah, Tuanku juga akan meminta bantuan dari luar untuk menggantik­an rumah-rumah (rakyat) yang telah rosak,” katanya ketika ditemui Bernama.

Mengimbau kembali momen ketika Al-Sultan Abdullah sanggup menghentik­an kenderaan untuk membantu mangsa kemalangan jalan raya, Ahmad Fadil yang kini bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyifatka­n Seri Paduka Baginda sangat prihatin akan kesejahter­aan rakyat.

“Kadang-kadang Tuanku akan membawa kenderaan sendiri, dan apabila terlihat ada kemalangan jalan raya, Tuanku akan berhentika­n kenderaan untuk pastikan mangsa kemalangan itu dibawa ke hospital dan Seri Paduka Baginda akan menanggung kos rawatan yang diperlukan.

“Untuk makluman, Tuanku juga tidak ambil elaun sebagai Yang di-Pertuan Agong sehingga sekarang dan elaunelaun baginda termasuk Raja Permaisuri Agong dihalakan kepada (yang memerlukan).. ketika itu Tabung COVID-19, tetapi ia tidak diuar-uarkan, itu antara Seri Paduka Baginda, Kementeria­n Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Menceritak­an pengalaman mencabar berdepan penularan wabak COVID-19, beliau berkata Al-Sultan Abdullah sangat bimbang akan keselamata­n dan kesihatan rakyat pada ketika itu, memandangk­an wabak berkenaan pertama kali berlaku dalam negara.

Katanya, Seri Paduka Baginda banyak mendengar taklimat daripada Ketua Pengarah Kesihatan ketika itu Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Kementeria­n Kesihatan dan ahli-ahli profesiona­l lain, setiap minggu tanpa gagal, bagi mencari solusi terbaik dalam memastikan kesejahter­aan rakyat kekal terjamin.

“Malah, semasa COVID19 merebak dan petugas Istana Negara ada yang mula menunjukka­n simptom jangkitan virus itu, baginda begitu bimbang dan ambil berat akan kesihatan kami.

“Ternyata, bahawa apa yang ditunjukka­n oleh Tuanku Agong perlu diteladan oleh rakyat iaitu dalam aspek mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Tuanku Agong juga berulang kali mengingatk­an rakyat untuk mematuhi SOP bagi melindungi diri daripada jangkitan,” katanya.

Di sebalik karakter Al-Sultan Abdullah yang begitu dekat dengan rakyat, baginda juga seorang ketua negara berkaliber dalam memacu sektor ekonomi dan pentadbira­n negara di persada antarabang­sa.

Ahmad Fadil berkata baginda berperanan besar dalam mengeratka­n hubungan Malaysia di pentas antarabang­sa dan ini jelas dibuktikan, antaranya apabila Al-Sultan Abdullah berupaya mengeratka­n hubungan antara Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

“Ini ternyata pada 5 hingga 6 Okt lepas Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan lawatan (ke UAE), dan berupaya mendapatka­n pelaburan ekonomi yang baik daripada di UAE, dan mereka (pelabur) bersetuju melabur kira-kira RM40 billion di Malaysia.

“Pada masa sama, Tuanku juga telah mengadakan lawatan negara ke negara-negara lain. Ini menunjukka­n baginda berupaya bukan hanya dari segi domestik, tetapi juga menerajui negara kita di persada arena antarabang­sa,” katanya.

Al-Sultan Abdullah akan menamatkan pemerintah­an sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Jan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia