Utusan Borneo (Sarawak)

Memelihara seni warisan kerikam Sarawak

- Oleh Soon Li Wei

SULAMAN kerikam, atau lebih dikenali sebagai keringkam, merupakan seni sujian yang sinonim dengan masyarakat Melayu Sarawak.

Lazimnya dihasilkan pada selendang dan selayah, kerikam merujuk kepada benang kasar daripada logam berwarna emas atau perak yang digunakan bagi menekat pelbagai motif menarik, terutama corak bunga.

Pada suatu ketika dahulu, selendang dan selayah kerikam ini merupakan pelengkap busana wanita Melayu Sarawak daripada keluarga bangsawan dan orang berada, yang digayakan semasa menghadiri keraian.

Namun, seiring peredaran masa, selendang kerikam kini turut dipakai oleh golongan biasa, malah dianggap sebagai “wajib ada” bagi setiap keluarga Melayu Sarawak. Tidak kurang juga yang menjadikan kain bersulam kerikam ini sebagai pusaka untuk diwarisi oleh anak cucu mereka.

Putaran roda masa juga memperliha­t seni sulaman kerikam tidak lagi terhad pada selendang atau selayah, sebaliknya turut ditemukan pada busana tradisiona­l seperti baju kurung.

DIANCAM KEPUPUSAN

Akan tetapi, kerenyahan seni sujian ini membuatkan tidak ramai yang berminat untuk mempelajar­i, sekali gus mengancam kesinambun­gan kerikam.

Penggiat seni tekat kerikam Danny Zulkifli, 44, mengakui akan hal itu kerana beliau sendiri berdepan kesukaran menimba ilmu berkaitan sulaman tersebut ketika mula-mula terlibat dalam kraf berkenaan.

“Saya sanggup belajar seni warisan ini bagi memastikan­nya tidak pupus. Seni sulaman keringkam sangat eksklusif dan saya terpaksa merujuk kepada orangorang tua yang lebih mahir dan berpengala­man,” kata pemilik butik D Keringkam itu semasa berucap pada program Aspire Warisan Pemelihara­an Tekstil dan Kemahiran Belia, anjuran Amanah Warisan Brooke tajaan Yayasan Hasanah, baru-baru ini.

Mengenang kembali detik awal pembabitan­nya dalam seni sulaman kerikam pada 2008, Danny yang juga guru Matematik di Sekolah Kebangsaan Santubong di sini, berkata beliau mempelajar­i seni itu ketika bertugas di sebuah sekolah rendah di pedalaman Mukah, wilayah tengah Sarawak.

“Ketika mengajar di

pedalaman, peluang untuk keluar dari kawasan sekolah adalah sukar kerana perlu menempuh perjalanan yang mencabar, iaitu jalan balak hingga dua jam. Ketika semua murid dan guru balik kampung (semasa cuti sekolah), saya memilih untuk tinggal seorang diri di sekolah.

“Saya menggunaka­n masa terluang itu untuk berkarya dan mengasah ilmu yang dipelajari sehingga dapat menghasilk­an sulaman keringkam yang berkualiti,” kata anak jati Kuching itu.

Danny yang merupakan seorang disleksia (gangguan keupayaan membaca, mengeja, menulis dan bertutur), berkata hasil kerja tangannya bukan sahaja menjadi sumber pendapatan sampingan beliau tetapi turut berfungsi sebagai terapi bagi menghilang­kan kesepian berjauhan dari keluarga.

HASILKAN BUKU TEKNIK KERIKAM

Berkongsi cabaran utama menghasilk­an seni kerikam pada ketika itu, Danny berkata ketiadaan jaringan Internet menyukarka­nnya membuat carian tentang teknik sulaman, mendorong beliau mengorbank­an cuti hujung minggu bagi mencari pakar kerikam.

“Masa itu tiada Internet di sekolah, jadi apabila saya ada kemusykila­n saya terpaksa turun naik bukit pada hujung minggu untuk bertanya kepada kawan-kawan serta orang-orang tua yang berpengala­man dalam seni keringkam.

“Dalam masa tujuh bulan saya mampu menguasai teknik seni keringkam dan sulaman motif. Tiada guru khas yang mengajar saya, pembelajar­an hanya dengan bertanya kepada mereka yang

mahir dan melihat contoh gambar sahaja,” kongsinya.

Menyentuh seni kerikam yang dihasilkan di butiknya, Danny berkata lazimnya beliau mengambil masa hampir sebulan bagi menyiapkan kerikam bermotif sederhana dan tiga hingga empat bulan bagi kerikam pelbagai corak.

“Jika terburu-buru hasilnya kurang memuaskan, kerana untuk menghasilk­an satu motif urat benang pada kain, harus dikira keseimbang­annya (jumlah corak),” katanya, menambah hingga kini lebih 60 kerikam pelbagai motif telah dihasilkan oleh beliau.

Danny pernah bekerjasam­a dengan pereka fesyen Khaider dan Sim Demi Couture menghasilk­an gaun kerikam Sarawak untuk Leslie Chiam, wakil Malaysia ke pertanding­an Miss Universe 2022 yang berlangsun­g di New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat.

“Saya bersyukur kerana hasil keikhlasan dan kesungguha­n saya dalam memartabat­kan seni warisan keringkam dapat diperagaka­n di pentas dunia.

“Saya juga sedang menulis sebuah buku tentang teknik dan jenis sulaman keringkam

serta busana tradisiona­l Sarawak dengan pelbagai motif. Buku yang berjudul ‘Cintaku Di atas Pedangan’ itu dijangka siap dan dilancarka­n pada tahun ini juga di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sarawak,” katanya.

PROGRAM ASPIRE JADI PLATFORM

Sementara itu, Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata generasi muda berdepan risiko kehilangan warisan dan sebahagian identiti mereka apabila pengamal seni, budaya dan warisan sedia ada semakin dimamah usia.

“Menyedari perkara ini, sejak beberapa tahun lepas, kami bekerjasam­a rapat dengan rakan kongsi di beberapa negeri untuk memberi nafas baharu kepada tekstil warisan bagi mengembali­kan semula kegemilang­an kraf itu menerusi pelbagai usaha.

“Antaranya menerusi program Aspire yang dapat mengangkat seni warisan tekstil seperti keringkam yang semakin dilupakan. Program Aspire merupakan platform untuk golongan muda mempelajar­i seni sulaman ini selama 18 bulan, termasuk tiga bulan sesi praktikal. “Program ini juga bertujuan membantu golongan yang kurang bernasib baik agar kemahiran yang diajarkan kepada mereka seterusnya dapat dimanfaatk­an untuk kesinambun­gan warisan negeri Sarawak melalui keusahawan­an,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Warisan Brooke, Jason Brooke berkata program Aspire adalah penting kerana ia menyediaka­n sokongan sosial secara langsung kepada anak muda yang kurang bernasib baik, diinspiras­ikan oleh asal-usul Amanah Warisan Brooke di Sarawak, khususnya berkaitan Muzium Ranee.

“Ranee (Margaret Brooke)

dikenali sebagai penaung keringkam dan songket. Kami memiliki sebahagian daripada kain bersulam keringkam beliau yang kemudian membawa kepada penubuhan Muzium Ranee bagi mempamerka­n kraf terbabit.

“Kami memulihara warisan ini bukan kerana usianya tetapi mahu berkongsi cerita di sebalik seni itu agar ahli masyarakat dapat mengenali susur galur warisan mereka.

“Mengambil kira keperluan masyarakat, kami memberi tumpuan pada golongan muda yang berada dalam keadaan sukar seperti pesalah muda. Kami mahu memberikan mereka inspirasi bahawa mereka adalah sebahagian ahli masyarakat yang ada kepentinga­n, selain latihan dan peluang,” ujar beliau pada majlis itu.

Sejarah merekodkan Ranee Margaret, iaitu isteri Rajah Putih Sarawak yang kedua Charles Brooke, sebagai pengasas dan pejuang seni kerikam dan songket. Koleksi beliau dipamerkan di

Muzium Ranee yang terletak di Bangunan Mahkamah Lama, Kuching dan dibuka kepada orang awam.

PELAPIS

Melihat program itu sebagai usaha melahirkan 50 penyulam muda yang bakal menjadi pelapis kesinambun­gan dan kelestaria­n seni keringkam Sarawak, Ketua Muzium dan Pendidikan Muzium Brooke Salliza Sideni berkata mereka yang terpilih antaranya remaja daripada pusat pemulihan akhlak, anak-anak yatim serta belia di pusat perlindung­an yang berusia 12 hingga 19 tahun.

“Mereka akan dilatih oleh penyulam keringkam bertauliah. Selepas itu mereka akan menjalani latihan di rangkaian Muzium Brooke di Kuching, iaitu Galeri Brooke di Fort Margherita dan Muzium Ranee,” katanya, menambah pelatih kemudian akan ditawarkan peluang pekerjaan, sama ada secara langsung atau menerusi jaringan kerja selain diperkenal­kan kepada artisan di bidang sama.

Salliza menambah program yang bermula pada Jun 2023 itu mendapat sambutan menggalakk­an, lebih-lebih lagi apabila golongan belia terpilih kini mampu menghasilk­an seni kerikam sendiri yang dipamerkan di Muzium Brooke.

“Bagi mengiktira­f hasil usaha mereka sepanjang pembelajar­an, karya-karya terbaik akan dipamerkan kepada umum di Muzium Brooke. Ia juga sebagai titik permulaan buat mereka

yang merancang untuk memulakan perniagaan seni sulaman keringkam apabila tamat pengajian di samping melahirkan bakal usahawan yang meneruskan legasi seni warisan negeri Sarawak,” katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? KOLEKSI: Jason memperkena­lkan koleksi-koleksi yang terdapat di Muzium Brooke di Kuching, semalam Sarawak sempena dengan program ASPIRE anjuran Amanah Warisan Brooke tajaan Yayasan Hasanah baru-baru ini.
— Gambar Bernama KOLEKSI: Jason memperkena­lkan koleksi-koleksi yang terdapat di Muzium Brooke di Kuching, semalam Sarawak sempena dengan program ASPIRE anjuran Amanah Warisan Brooke tajaan Yayasan Hasanah baru-baru ini.
 ?? — Gambar Bernama ?? INSPIRASI: Salliza menunjukka­n hasil sulaman Keringkam yang dihasilkan oleh penyulam-penyulam muda yang terpilih.
— Gambar Bernama INSPIRASI: Salliza menunjukka­n hasil sulaman Keringkam yang dihasilkan oleh penyulam-penyulam muda yang terpilih.
 ?? ?? DIANCAM KEPUPUSAN: Antara koleksi seni sulaman Keringkam Sarawak yang dipamerkan di Muzium Brooke .
DIANCAM KEPUPUSAN: Antara koleksi seni sulaman Keringkam Sarawak yang dipamerkan di Muzium Brooke .
 ?? — Gambar Bernama ??
— Gambar Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia