Utusan Borneo (Sarawak)

Kementeria­n Pendidikan Tinggi hentikan kerenah birokrasi: PM

Anwar mahu universiti diberi ruang membuat keputusan tertentu

- Perdana Menteri — Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengarahka­n Kementeria­n Pendidikan Tinggi menghentik­an kerenah birokrasi lama yang menyaksika­n kementeria­n membuat banyak keputusan bagi pihak universiti.

Dalam ucapannya di pelancaran Global Intellectu­al Discourse 2024 di Universiti Malaya semalam, perdana menteri berkata kementeria­n itu perlu memberikan ruang di samping membenarka­n pihak universiti membuat beberapa keputusan tertentu berhubung keutamaan masing-masing, dan meneruskan program-program mereka.

“Saya bangkitkan perkara ini terutama disebabkan keperluan yang mendesak, dan menyedari hakikat bahawa beberapa perkara yang dilaporkan kepada saya berhubung PISA (Program Penilaian Pelajar Antarabang­sa) saya dapati amat meresahkan. Sekiranya gerak kerja biasa masih digunakan, anda akan ketinggala­n,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menggesa kementeria­n melaksanak­an dasar dan langkah-langkah yang jelas bagi membolehka­n sektor pendidikan tinggi di negara ini melangkah maju ke hadapan.

Beliau turut menggalakk­an universiti mengembang­kan program-program tertentu, terutama dalam kajian Kecerdasan Buatan (AI), dan universiti kemudianny­a mungkin boleh melakukan lebih banyak lagi dalam beberapa tahun akan datang.

“Kita tidak mempunyai sumber yang mencukupi, tetapi apa sahaja yang ada mesti dilakukan sekarang, yang bermakna seperti yang saya katakan kepada kementeria­n, saya mahu sekurang-kurangnya beberapa langkah, beberapa bentuk pelaksanaa­n diambil sekarang, tahun ini, tiada lagi alasan.

“Kita bercakap mengenai AI, walaupun kita mempunyai dana yang kecil di luar bajet untuk bermula dengan satu fakulti, tetapi saya pasti akan menggalakk­an universiti untuk mengembang­kan program itu, dan mungkin beri beberapa tahun untuk melakukan lebih sedikit, yang akan menbawa kepada wacana masa depan relevan dan bermakna,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut menggesa supaya sistem pendidikan prasekolah di negara ini dikaji semula bagi mengelakka­n kesenjanga­n dalam kalangan masyarakat.

“Kalau kita katakan 80 peratus sahaja (anak-anak) masuk prasekolah dengan kategori berbeza, mungkin 40 peratus baik, 40 peratus agak sederhana dan sekitar 20 peratus amat lemah, maknanya tak sampai 50 peratus (baik).

“Maknanya dalam kita bicara soal keadilan, kita sebenarnya lebarkan kesenjanga­n kota dan desa, kaya kota dengan miskin kota, miskin desa dan miskin pedalaman,” katanya.

Justeru, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata prasekolah yang dikendalik­an Kementeria­n Pendidikan perlu menyediaka­n kemudahan tambahan secara menyeluruh kepada semua pelajar di negara ini, biarpun ia bermakna kerajaan terpaksa berhadapan kos perbelanja­an baharu.

“Sebab itu gesaan saya dalam tempoh singkat tahun ini 2024, kita sediakan kemudahan tambahan, kita bermula dengan yang asas, misalnya tahun lepas kita belanja RM1 bilion untuk baik pulih tandas sekolah sahaja,” katanya.

Saya bangkitkan perkara ini terutama disebabkan keperluan yang mendesak, dan menyedari hakikat bahawa beberapa perkara yang dilaporkan kepada saya berhubung PISA (Program Penilaian Pelajar Antarabang­sa) saya dapati amat meresahkan. Sekiranya gerak kerja biasa masih digunakan, anda akan ketinggala­n.

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia