Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki Nigeria mati jatuh kondominiu­m ketika lari daripada polis

-

Seorang lelaki warga Nigeria ditemukan mati dipercayai akibat terjatuh dari rumah sewanya di kondominiu­m di Batu Uban di sini, ketika cuba melarikan diri selepas premis itu diserbu sepasukan polis kelmarin.

Serbuan pada 6 petang oleh pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang itu berdasarka­n maklumat terdapat kegiatan pengedaran dadah di sebuah rumah di tingkat 16 kondominiu­m terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata semasa serbuan dilakukan, seorang lelaki telah membuka pintu sebelum dia masuk semula ke dalam kediaman itu dan bertindak mengunci pintunya bagi menghalang pihak polis masuk.

“Polis berjaya memecah masuk ke dalam rumah itu dan pemeriksaa­n tidak menjumpai lelaki berkenaan, namun terdapat seorang lelaki Nigeria di dalam rumah terbabit bersama sejumlah dadah jenis ekstasi dan syabu.

“Polis menjalanka­n pemeriksaa­n di kawasan kondominiu­m itu sebelum menemukan mayat lelaki dipercayai telah terjatuh dari rumah yang disewa mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Razlam berkata pihaknya turut menahan seorang lagi rakan mereka di tingkat lapan kondominiu­m yang dipercayai cuba melarikan diri daripada pihak polis semasa serbuan itu.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk status kemasukan mereka ke negara ini dan kegiatan pengedaran dadah.

“Dua lelaki Nigeria berumur 30-an itu ditahan untuk siasatan lanjut, manakala mayat lelaki yang terjatuh itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat,” katanya.

Bagi kes berkaitan dadah, Razlam berkata ia disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kes lelaki maut berusia 37 tahun yang dipercayai pelajar sebuah kolej swasta di negeri ini, diklasifik­asikan sebagai mati mengejut (SDR).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia