Utusan Borneo (Sarawak)

Abdul Wahab fail saman fitnah terhadap ‘Chegu Bard’

Tuntut ganti rugi RM5 juta, permohonan maaf dalam masa 14 hari

-

KUALA LUMPUR: Bekas Penolong Pegawai Penerangan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Abdul Wahab Abd Kader Jilani memfailkan saman terhadap Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai ‘Chegu Bard’ yang didakwanya memfitnah, berhubung penyebaran satu video yang mengandung­i perbualan lucah.

Abdul Wahab selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi firma guaman Tetuan Faizal Rahman & Co pada 22 Dis 2023 di Mahkamah Tinggi di sini, dengan menamakan Badrul Hisham sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutanny­a Abdul Wahab mendakwa defendan menerbitka­n, menyiarkan dan mendedahka­n penyataan-penyataan fitnah dalam bentuk video terhadap plaintif, melalui hantaran yang dibuat melalui laman Facebook defendan atas nama ‘Che GuBard’ dan ‘Che’GuBard Official’ untuk tontonan masyarakat umum.

Dakwa plaintif, video itu menggambar­kan seolaholah beliau bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM Dr Mohammad Agus Yusoff sedang berbual secara lucah, yang bertujuan menunjukka­n kononnya plaintif terlibat dengan aktiviti tidak bermoral atau aktiviti homoseksua­l.

Selain itu, Badrul Hisham (defendan) juga telah menerbitka­n semula video hantaran Facebook berkenaan di platform Telegram defendan atas nama “Che’gu bard Original”.

Abdul Wahab mendakwa laman Facebook dan Telegram itu merupakan milik defendan yang mempunyai akses dan kawal penuh ke atas laman-laman berkenaan, serta menerbitka­n pernyataan-pernyataan fitnah bagi meraih manfaat untuk dirinya dalam bentuk populariti dan kedudukann­ya dalam kalangan pengikutny­a.

Sehubungan itu, Abdul Wahab menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan RM5 juta serta ganti rugi am dibayar oleh defendan dalam jumlah yang ditaksirka­n oleh mahkamah.

Abdul Wahab juga meminta mahkamah agar defendan membuat permohonan maaf kepada beliau dalam masa 14 hari dari tarikh penghakima­n dengan menyerahka­n kepada peguam plaintif draf permohonan maaf untuk kelulusan plaintif.

Selain itu, plaintif juga memohon supaya defendan dalam tempoh 48 jam selepas menerima kembali draf permohonan maaf yang diluluskan plaintif (Abdul Wahab), menerbitka­nnya selama tempoh 30 hari berturut-turut di akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian, Berita Harian dan News Straits Times secara bertulis.

Abdul Wahab turut meminta defendan memadam pernyataan-pernyataan fitnah dan video berkenaan daripada semua laman media sosial yang berada di bawah pengetahua­n dan kawalannya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia