Utusan Borneo (Sarawak)

Thailand kekal rekod tanpa kalah, cerahkan peluang ke ‘kalah mati’

- — Bernama

Jaguh Asia Tenggara Thailand mengekalka­n rekod tanpa kalah selepas berjaya menyekat Oman daripada meraih tiga mata penuh apabila seri tanpa jaringan pada perlawanan kedua Kumpulan F saingan Piala Asia 2023 di Stadium Abdullah bin Khalifa di sini, malam kelmarin.

Keputusan itu mencerahka­n lagi peluang skuad Gajah Perang untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik buat kali kedua berturut-turut selepas edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjelang aksi terakhir kumpulan bertemu juara tiga kali, Arab Saudi Khamis ini.

Thailand, bimbingan pengendali dari Jepun, Masatada Ishii ketika ini mengumpul empat mata di posisi teratas kumpulan dengan Arab Saudi berpeluang memintas kedudukan itu sekiranya berjaya menewaskan Kyrgyzstan pada satu lagi aksi, malam ini.

Pada perlawanan pembukaan Selasa lalu, Thailand mengalahka­n Kyrgyzstan 2-0.

Pada pertembung­an Oman dan Thailand, perlawanan seimbang di separuh masa pertama namun Thailand terlebih dahulu mengancam kubu lawan menerusi tandukan deras pemain pertahanan Elias Dolah berpunca sepakan penjuru pada minit ke-16.

Namun, percubaan itu berjaya diselamatk­an penjaga gol Ibrahim Al Mukhaini untuk pemain tengah Abdullah Fawaz pantas mengeluark­an bola dari kawasan berbahaya sebelum giliran penyerang Issam Al Sabhi menguji Patiwat Khammai di gawang menerusi rembatan yang tepat ke arahnya pada minit ke-20.

Fawaz kemudian terlepas peluang meletakkan Oman yang dibimbing Branko Ivankovic di depan apabila percubaan kaki kanannya selepas menerima hantaran Harib Al Saadi, melambung tinggi pada minit ke-31 dan kedudukan 0-0 kekal sehingga waktu rehat.

Bersambung babak kedua, Oman, yang tewas 1-2 di tangan Arab Saudi pada aksi pembukaan Selasa lepas, lebih garang dalam usaha memburu kemenangan tetapi Thailand terlebih dahulu membuat percubaan berbahaya menerusi tandukan penyerang muda Supachai Chaided yang sedikit tersasar pada minit ke-55.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia