Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan setuju benarkan sektor perladanga­n ambil pekerja asing: Johari

- — Bernama

Kerajaan bersetuju membenarka­n pengambila­n pekerja asing khusus untuk sektor perladanga­n di bawah Kementeria­n Perladanga­n dan Komoditi (KPK), kata menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumka­n oleh Menteri Dalam Negeri kepadanya yang memutuskan hanya sektor perladanga­n pada masa ini yang dibenarkan untuk mengambil pekerja asing.

“Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) dan Kementeria­n Sumber Manusia bersetuju bahawa pekerja asing selain sektor perladanga­n tidak dibenarkan masuk lagi tetapi untuk industri perladanga­n ia terbuka dan diberi peluang.

“Setakat kaji selidik sehingga Disember 2023, kita menganggar­kan seramai 40,000 pekerja diperlukan ketika ini, tetapi manamana syarikat yang terlibat dalam perladanga­n perlu mengemukak­an permohonan (pengambila­n pekerja asing),” katanya kepada media semalam.

Beliau berkata demikian selepas menyempurn­akan Majlis Anugerah Kecemerlan­gan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2023, di sini.

Johari turut menegaskan syarikat yang ingin membuat permohonan pengambila­n pekerja asing untuk industri perladanga­n perlu memastikan kehendak spesifik pekerjaan di ladang dan bukan dalam sektor lain.

“KPK juga akan memastikan sesiapa yang membawa masuk pekerja asing akan menyediaka­n tempat tinggal yang elok dan sempurna kerana kita tidak mahu timbul isu pekerja asing dianggap dalam keadaan buruh paksa.

“Saya difahamkan oleh menteri KDN, mana-mana syarikat yang membawa masuk pekerja asing ke dalam negara kemudian tidak ada kerja, tetap kena bayar gaji kepada pekerja tersebut untuk mengelak negara kita daripada dituduh sebagai mengamalka­n pemerdagan­gan manusia atau buruh paksa,” katanya.

Terdahulu, Johari menyaksika­n penyerahan dana khusus untuk Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TPKS 2.0) berjumlah RM100 juta daripada MPOB kepada Agrobank.

Dana yang disediakan menerusi Belanjawan 2024 terdiri daripada komponen geran (50 peratus) dan sebahagian lagi adalah pembiayaan (50 peratus) kepada pekebun kecil persendiri­an.

Penyaluran dana bagi kedua-dua komponen geran dan pembiayaan akan disalurkan sepenuhnya oleh Agrobank dan bayaran balik oleh pemohon hanya melibatkan 50 peratus (termasuk dua peratus faedah) daripada keseluruha­n jumlah dana disalurkan.

Nilai pembiayaan adalah sebanyak RM14,000 per hektar untuk pekebun kecil di Semenanjun­g Malaysia manakala RM18,000 per hektar kepada pekebun kecil di Sabah dan Sarawak dan permohonan telah dibuka bermula 15 Januari lepas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia