Utusan Borneo (Sarawak)

Bernama junjung titah Sultan Selangor supaya perangi berita palsu

-

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menjunjung tinggi titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddi­n Idris Shah yang mahukan supaya penyebaran berita palsu diperangi secara menyeluruh.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Bernama selaku agensi di bawah kementeria­n berkenaan, menjunjung tinggi titah baginda yang menekankan agar organisasi media itu memperheba­tkan usaha memerangi berita palsu yang disifatkan sebagai satu daripada masalah yang perlu ditangani dengan tuntas.

“Mewakili Bernama saya menjunjung kasih atas titah nasihat Tuanku dan bersama barisan warga kerja Bernama kita akan usahakan untuk kita perangi fitnah dan penyebaran berita palsu ini secara menyeluruh, termasuk dengan kerjasama daripada rakan media yang lain.

“Dalam hal ini, pihak Bernama juga menyembah maklum mengenai portal khas dikenali MyCheck Malaysia (MyCheck) yang diwujudkan sebagai antara platform menyemak kesahihan fakta yang tular di media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Sultan Sharafuddi­n dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan berangkat melawat ibu pejabat Bernama di sini semalam.

Fahmi berkata beliau bersama pengurusan tertinggi Bernama akan meneliti keperluan memperkuku­hkan unit MyCheck bagi memperheba­tkan lagi usaha menangkis penyebaran berita palsu agar ia boleh bergerak seiring dengan pasukan sebenarnya.my yang dikendalik­an Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan juga segmen ‘Biar Betul!’ terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata selain inisiatif yang dilaksanak­an agensi media milik kerajaan, usaha membantera­s penularan berita palsu juga menuntut penglibata­n menyeluruh organisasi media lain agar tindakan itu dapat dilaksanak­an dengan lebih tuntas dan menyeluruh.

Dalam pada itu, Fahmi berkata pihaknya turut menjunjung tinggi titah baginda yang menyaranka­n Bernama menjadi sumber rujukan yang berfungsi seperti “arkib atau muzium” dalam merakamkan perkembang­an bidang kewartawan­an negara.

“Kita tidak ada satu tempat untuk menunjukka­n perkembang­an bidang kewartawan­an...memandangk­an Bernama telah wujud sejak 1968, maka sudah pasti banyak segi evolusi perkembang­an dunia kewartawan­an, Bernama pastinya sangatsang­at terlibat.

Dengan pelbagai peralatan dimiliki, daripada hibrid kepada digital, Bernama sebenarnya boleh menjadi sebahagian daripada arkib atau muzium yang memaparkan perkembang­an dunia kewartawan­an di Malaysia,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, Fahmi berkata beliau akan membawa Memorandum Jemaah Menteri berhubung keputusan mesyuarat jawatankua­sa pelaksanaa­n 5G antaranya berhubung penubuhan rangkaian kedua 5G untuk perhatian kerajaan dalam Mesyuarat Kabinet akan datang.

Beliau berkata penubuhan rangkaian kedua 5G menjadi antara keputusan perlu diputuskan dalam mesyuarat itu supaya sebarang perkembang­an untuk menukar model pelaksanaa­n 5G ketika ini daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkai­an dapat diumum selepas sambutan Tahun Baharu Cina, bulan depan.

“Semalam (kelmarin), saya mengadakan pertemuan dengan semua ketua pegawai eksekutif syarikat telekomuni­kasi dan mereka memaklumka­n untuk bangunkan rangkaian kedua, ia tidak akan memakan masa yang lama, mungkin sekitar 12 ke 18 bulan sahaja.

Dalam hal ini, insya-Allah saya akan bawa Memorandum Jemaah Menteri ke perhatian jemaah menteri dalam masa terdekat agar satu keputusan boleh dicapai membolehka­n penubuhan rangkaian kedua 5G diputuskan,” katanya.

Dalam perkembang­an sama, Fahmi berkata semua pengendali rangkaian mudah alih bersetuju tiada caj tambahan akan dikenakan terhadap pengguna yang menaik taraf langganan kepada rangkaian 5G.

“Saya sudah bertemu pengendali syarikat telekomuni­kasi dan mereka bersetuju tidak kenakan sebarang bayaran ke atas pengguna yang menaik taraf langganan kepada rangkaian 5G,” katanya merujuk kepada isu segelintir pengendali rangkaian mudah alih mengenakan caj tambahan kepada pengguna masing-masing. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia