Utusan Borneo (Sarawak)

Lebih 300,000 dijangka hadiri sambutan Thaipusam di Ipoh

-

Lebih 300,000 penganut Hindu dari seluruh negara termasuk pelancong asing dijangka mengunjung­i Kuil Sri Subramania­r di Gunung Cheroh di sini, bagi meraikan perayaan Thaipusam tahun ini.

Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak A. Sivanesan berkata, sasaran itu merupakan peningkata­n daripada jumlah pengunjung ke kuil berusia lebih 100 tahun berkenaan pada tahun lepas, susulan beberapa faktor.

“Beberapa kuil lain ditutup kerana sedang dibaik pulih selain keadaan COVID-19

semakin baik serta cuti yang sedikit panjang (hampir dengan hari minggu),” katanya pada sidang media selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Jawatankua­sa Penyelaras­an Sambutan Thaipusam di sini semalam.

Beliau berkata kira-kira 10,000 penganut Hindu akan menyertai perarakan pedati bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Sungai Pari, Buntong pada awal pagi Rabu hingga kuil induk di Gunung Cheroh.

Sebanyak 400 penganut pula akan berarak membawa pelbagai kavadi bermula malam ini di lokasi sama.

“Makanan juga disediakan untuk 100,000 orang akan diedarkan di Jalan Raja Musa Aziz yang merupakan sumbangan beberapa pihak termasuk Pejabat Ahli Parlimen Tambun bermula Rabu hingga Khamis ini.

“Terdapat kira-kira 300 gerai jualan dan pelbagai agensi keselamata­n didirikan di laluan itu dan sekitar kawasan kuil,” katanya.

Sivanesan berkata anggota keselamata­n seperti polis serta bomba turut ditempatka­n di sekitar kawasan terlibat dengan sambutan Thaipusam selain memutuskan beberapa larangan antaranya bermain mercun, mabuk, menjual, membawa atau minum arak, atau menari di dalam mahupun di luar kawasan kuil.

“Jika mereka masih melakukan perbuatan ini maka pihak kerajaan negeri memberi kebenaran dan kebebasan sepenuhnya kepada polis untuk terus melakukan tangkapan. Jadi saya beri amaran kepada orang ramai jangan terlibat dalam kegiatan seperti ini,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta 600 kuil di Perak supaya melengkapk­an rumah ibadat itu dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan keselamata­n. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia