Utusan Borneo (Sarawak)

Anwar yakin jabatan kastam mampu capai sasaran kutipan hasil RM56 bilion tahun ini

-

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin sasaran kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) RM56 bilion tahun ini mampu dicapai.

“Saya percaya, insya-Allah sasaran kita, unjuran bagi tahun 2024 bukan saja dicapai, tapi kalau dapat diurus dengan seluruh semangat (seperti) yang ditunjukka­n hari ini, luar biasa semangatny­a, saya yakin kita akan melepasi sasaran,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-42, di sini semalam.

Tahun lepas, JKDM berjaya mengutip hasil RM55.1 bilion, melepasi sasaran RM53.5 bilion.

Menyifatka­n kejayaan itu sebagai mencipta rekod untuk negara, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mezahirkan penghargaa­nnya kepada seluruh pasukan JKDM.

“Kalaulah tidak ada peningkata­n kecekapan, kalau dibiarkan ketirisan, boros dan membiarkan satu dua kelompok kecil memindahka­n kekayaan untuk diri dan keluarga mereka, tak mungkin JKDM boleh catat satu perolehan kutipan yang membanggak­an,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bonus tahun ini untuk warga JKDM akan lebih baik berbanding sebelumnya.

Anwar berkata hasil kutipan JKDM bukan sahaja menambah hasil negara malah lebih daripada itu, ia memberi manfaat yang besar kepada rakyat dalam pelbagai lapisan masyarakat.

“Apa maknanya bila saudara (JKDM) dapat kumpul RM55.1 bilion (kutipan hasil tahun lepas), maknanya hasil negara bertambah dan kalau negara itu punyai pimpinan yang tegas, elak ketirisan, wang yang saudara kutip itu akan kembali kepada anak-anak di sekolah, ibu bapa yang dirawat di hospital dan prasarana lebih baik,” katanya.

Sebagai menghargai usaha warga JKDM yang menjadi antara tonggak ekonomi negara, Anwar mengumumka­n peruntukan perumahan JKDM dinaikkan daripada RM20 juta kepada RM50 juta, dan kerajaan bersedia menambah peruntukan itu sekiranya ada keperluan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia