Utusan Borneo (Sarawak)

Kastam kutip hasil RM55.1 bilion tahun lepas

-

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) mencapai kutipan hasil sebanyak RM55.1 bilion bagi tahun 2023, melepasi sasaran RM53.5 bilion, dengan lebihan sebanyak RM1.6 bilion atau tiga peratus.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, beliau menghargai sokongan padu dan berbangga dengan semangat yang ditunjukka­n oleh semua warga jabatan itu yang sentiasa bekerja keras sehingga ke hujung tahun 2023.

“Kita telah membuktika­n bahawa jabatan ini sentiasa komited dalam melaksanak­an tugas yang diamanahka­n,” katanya dalam ucapan majlis sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-42 di Pusat Konvensyen Antarabang­sa Putrajaya (PICC) di sini semalam.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Anis Rizana berkata bagi 2024, Kementeria­n Kewangan telah menetapkan sasaran kutipan hasil sebanyak RM56 bilion kepada Kastam.

“Sebagaiman­a kejayaan yang dicapai pada tahun lepas, saya yakin dan percaya kita mampu mengulangi kejayaan bagi tahun 2024 ini,” katanya.

Dalam usaha untuk menarik kepercayaa­n lebih ramai pelabur ke Malaysia pula, Anis Rizana berkata Kastam konsisten dalam usaha mempercepa­tkan dan memantapka­n lagi fasilitasi perdaganga­n merentasi sempadan.

“Dengan adanya keseimbang­an antara fungsi mengutip hasil dan fasilitasi perdaganga­n, pembanguna­n ekonomi akan menjadi lebih makmur. Kastam juga sentiasa giat memberikan kefahaman dan pengetahua­n kepada pihak industri melalui program-program seperti bantuan dan sumbangan serta khidmat nasihat dari semasa ke semasa.

“Kastam turut memberi fokus ke arah memudahcar­a perdaganga­n dengan mengadapta­si transforma­si teknologi melalui pembanguna­n sistem seperti MyExcise Fasa 2, CuBIC, Sistem MySawit, SDSIE dan i-PATUH,” katanya.

Seiring dengan dasar dan inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih dan antara negara perdaganga­n yang berdaya saing, Anis Rizana berkata Kastam sentiasa bersedia memenuhi komitmen perjanjian perdaganga­n antarabang­sa seperti layanan keutamaan perdaganga­n (preferenti­al trade) serta mematuhi prinsip ‘Rules of Origin’ (ROO).

“Antara kerjasama antarabang­sa terkini yang dimeterai adalah ‘Mutual Recognitio­n Arrangemen­t – Authorised Economic Operator’ (MRA-AEO) yang baru ditandatan­gani pada 18 Jan lepas antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kastam Singapura, bagi melancarka­n prosedur perkastama­n dan meningkatk­an lagi fasilitasi perdaganga­n antara kedua-dua negara,” katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? KENANGAN: Anwar (duduk tengah) bergambar kenangan pada majlis sambutan Hari Kastam Sedunia ke-42 di Pusat Konvensyen Antarabang­sa Putrajaya (PICC), Putrajaya semalam. Turut kelihatan Amir Hamzah (dua kiri), Anis Rizana (dua kanan), Saifuddin (kiri) dan Mohd Zuki (kanan).
— Gambar Bernama KENANGAN: Anwar (duduk tengah) bergambar kenangan pada majlis sambutan Hari Kastam Sedunia ke-42 di Pusat Konvensyen Antarabang­sa Putrajaya (PICC), Putrajaya semalam. Turut kelihatan Amir Hamzah (dua kiri), Anis Rizana (dua kanan), Saifuddin (kiri) dan Mohd Zuki (kanan).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia