Utusan Borneo (Sarawak)

Polis Sepanyol berkas suspek bunuh tiga mangsa penipuan percintaan dalam talian

-

Polis Sepanyol kelmarin mengesahka­n bahawa mereka telah menahan seorang lelaki Pakistan berhubung pembunuhan tiga beradik yang berusia 70-an, dilaporkan akibat hutang yang berkaitan dengan penipuan percintaan dalam talian.

Suspek menyerah diri pada Ahad, “mengakui penglibata­nnya dalam insiden yang berkaitan dengan tiga pembunuhan di sebuah rumah di Morata de Tajuna”, menurut satu kenyataan polis.

Menurut sumber kehakiman, suspek pernah disabitkan kesalahan menyerang salah seorang mangsa perempuan itu dengan tukul pada tahun lalu.

Khamis lepas, polis telah menemui tiga mayat itu, yang rentung di dalam rumah mereka yang terletak 35 kilometer tenggara Madrid.

Jiran membuat laporan selepas tidak melihat dua beradik perempuan dan abang mereka yang kurang upaya untuk sekian lama, dengan polis berkata kematian mereka dianggap sebagai pembunuhan disyaki kerana berhutang.

Kelmarin polis berkata lelaki itu, yang hanya dinamakan sebagai D.H.F.C, merupakan “suspek utama” dalam kes itu kerana dia “sebelum ini telah mencederak­an salah seorang mangsa wanita tahun lalu”, dengan mahkamah mengesahka­n penahanan dan sabitannya.

Memetik keterangan penduduk tempatan, media Sepanyol berkata tragedi itu dikaitkan dengan hubungan cinta palsu dalam talian, dengan dua beradik itu berfikir mereka memulakan hubungan jarak jauh dengan dua askar Amerika Syarikat.

Mangsa percaya bahawa seorang askar telah meninggal dunia dan seorang lagi memerlukan wang supaya dia boleh menghantar harta pusaka berjumlah berjuta-juta euro kepada mangsa, menyebabka­n adik-beradik itu menanggung hutang yang besar.

Pada mulanya mereka mula meminjam wang daripada jiran.

Pada masa itu, suspek telah meminjamka­n adik-beradik perempuan itu sekurangku­rangnya 50,000 euro, yang tidak pernah mereka bayar, mendorong serangan ganasnya ke atas salah seorang mangsa.

Menurut kenyataan mahkamah tertinggi wilayah Madrid, suspek telah ditangkap pada Februari 2023 di rumah sewanya.

Dia memukul mangsa “di kepala, sekurang-kurangnya tiga kali, dengan tukul” kemudian apabila mangsa jatuh ke lantai, dia menendangn­ya.

Dia ditahan dan dibawa ke mahkamah pada September, dihukum penjara dua tahun, didenda 2,900 euro dan dilarang berada dalam lingkungan 500 meter daripada mangsa selama dua tahun dan enam bulan.

Tetapi di bawah undangunda­ng Sepanyol, sesiapa yang menerima hukuman penjara dua tahun atas kesalahan pertama, hukuman mereka akan digantung secara automatik, jadi dia dibebaskan selepas bersetuju membayar pampasan, kata kenyataan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia