Utusan Borneo (Sarawak)

Polis Sarawak terus gempur dadah

Dua lelaki ditahan, pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM400,000 dirampas di Miri.

- Oleh Jeremy Lanson

KUCHING: Polis Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM400,000 dalam dua operasi berasingan di Miri, baru-baru ini.

Pesuruhjay­a Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, kejayaan itu dicapai menerusi kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Miri).

Menurutnya, rampasan pertama dilaporkan pada 19 Januari apabila seorang lelaki berusia 26 tahun ditangkap di belakang sebuah restoran di Miri selepas didapati memiliki dadah jenis serbuk campuran ekstasi seberat kira-kira 54.7 gram.

“Dengan dipandu arah suspek, pasukan operasi telah menyerbu sebuah pangsapuri di Taman Piasau Indah, Miri dan menemui pelbagai jenis dadah dianggarka­n bernilai RM152,700.

“Pemeriksaa­n lanjut mendapati suspek menggunaka­n pangsapuri tersebut sebagai tempat memproses dadah dan membungkus dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjay­a Polis Sarawak Datuk Ibrahim Darus, Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu serta pegawai-pegawai kanan IPK Sarawak.

Mancha berkata, siasatan awal polis juga mendapati suspek memperoleh­i bekalan dadah tersebut daripada seorang rakan sejenayah di Miri.

“Suspek kemudian memproses dan membungkus dadah tersebut dalam peket ‘Juice Master’ sebelum mengedarny­a di sekitar Miri,” jelasnya sambil menambah, suspek yang juga disahkan positif dadah jenis Amphetamin­e dan Methamphet­amine.

Semakan rekod katanya, juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau kes berkaitan dadah dan judi.

Sementara kes kedua kata Mancha, dilaporkan pada 21 Januari di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Miri sekitar jam 9 pagi.

Katanya, pasukan operasi menangkap seorang lelaki juga berusia 26 tahun bersama sebuah bagasi yang didapati berisi kirakira 8,300 gram dadah jenis syabu dianggarka­n bernilai RM273,900.

“Siasatan awal mendapati suspek membawa masuk dadah tersebut dari Semenanjun­g Malaysia melalui laluan udara dengan upah RM8,000.

“Suspek diarahkan membawa dadah tersebut ke Sabah dan urusan penerbanga­n serta penginapan diuruskan sindiket,” katanya.

Selain dadah jelasnya, polis turut merampas sebuah kereta milik suspek bernilai sekitar RM11,800.

“Suspek juga disahkan positif dadah jenis Methamphet­amine dan turut dikesan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Kedua-dua suspek yang ditangkap dalam dua operasi tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntu­kkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

“JSJN akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki-baki sindiket yang terlibat dan pihak polis berharap masyarakat akan terus menyalurka­n maklumat berkaitan kegiatan dadah di sekeliling mereka,” katanya.

Laporan atau maklumat boleh disalurkan terus ke talian hotline JSJN 012-2087222.

 ?? ?? BARANG KES: Mancha menunjukka­n serbuk campuran buah-buahan yang dirampas dalam operasi di Miri pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching, semalam.
BARANG KES: Mancha menunjukka­n serbuk campuran buah-buahan yang dirampas dalam operasi di Miri pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia