Utusan Borneo (Sarawak)

Dua sekawan mengaku mencuri kena dua bulan

-

KUCHING: Dua sekawan dijatuhi hukuman penjara dua bulan setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencuri empat unit bateri lori, seunit pam tekanan air dan pelbagai alat spanar.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintah­kan hukuman penjara bagi Adril Naffiz Mustapha, 30, dan Mohammed Fitri Hajeli, 35, untuk dikuatkuas­akan mulai dari tarikh mereka ditangkap.

Kedua-duanya didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama dua lagi individu lain yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Jalan Datuk Stephen Yong, Batu Kawa di sini, sekitar jam 8.27 pagi pada 26 November 2023.

Berdasarka­n fakta kes, pemilik barangan tersebut (pengadu) diberitahu oleh pekerjanya pada 27 November 2023 bahawa terdapat beberapa barang diletakkan di hadapan rumah telah hilang.

Selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran, pengadu ternampak seorang lelaki tidak dikenali masuk ke kawasan rumah pengadu dengan menggunaka­n sebuah kereta berwarna hitam.

Pengadu seterusnya melakukan pemeriksaa­n dan mendapati antara barangan yang hilang adalah empat unit bateri lori, seunit pam tekanan air dan pelbagai peralatan spanar, sehingga membawa kepada kerugian sekitar RM2,500.

Laporan polis dibuat dan hasil siasatan membawa kepada penangkapa­n kedua-dua tertuduh pada 20 Januari 2024.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh kedua-dua tertuduh mengaku telah mencuri barang pengadu dan menjualnya di kedai besi buruk dengan harga RM235.

Malah, hasil jualan berkenaan dibahagi sama rata antara kedua-dua tertuduh dan juga bersama dua lagi individu yang masih bebas.

Selain itu, terdapat CCTV di tempat kejadian yang merakamkan perbuatan tertuduh.

Pendakwaan dikendalik­an oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia