Utusan Borneo (Sarawak)

Kasih Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah dalam ingatan rakyat Sabah dan Sarawak

-

KOTA KINABALU: Keberangka­tan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h ke Sabah dan Sarawak ketika Kembara Kenali Borneo pada September tahun lepas, masih menjadi bualan rakyat di negeri berkenaan.

Keramahan dan kasih sayang ditunjukka­n Seri Paduka berdua serta paduka anakanda yang sanggup mengetepik­an hamparan permaidani untuk menyantuni rakyat sehingga lewat malam tanpa menghirauk­an penat, akan diingati mereka ke akhir hayat.

Bagi Vella Lamsin, 44, dari Penampang, Al-Sultan Abdullah disifatkan sebagai “satu dalam sejuta” kerana baginda satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang sudi mencemar duli berangkat ke Sabah bersama kaum kerabat Seri Paduka, semata-mata untuk bertanya khabar rakyat di negeri ini.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, keramahan rombongan Diraja telah memikat hati rakyat Sabah yang akhirnya dapat bertemu lebih dekat, berbanding sebelum ini hanya mampu melihat baginda berdua melalui kaca televisyen dan media sosial.

“Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sekeluarga memang ramah dan saya sendiri walaupun tidak berada di tempat keramaian itu, dapat merasakan kemesraan melalui video yang dikongsi menerusi media sosial, terasa sangat teruja.

“Rasa sayu pula hati apabila Al-Sultan Abdullah akan kembali bersemayam di Pahang, harap-harap Seri Paduka masih sudi menjenguk kami selepas ini,” katanya yang turut menzahirka­n harapan agar Yang diPertuan Agong baharu nanti sudi meneruskan Kembara Kenali Borneo.

Ketua Kampung Kobuni, Inanam, Aji Rumbuton, 65, pula kagum dengan keperibadi­an Seri Paduka berdua yang tidak lelah melayani pelbagai kerenah rakyat Sabah, walaupun kadangkala dipanggil dengan gelaran yang tidak mengikut protokol seperti ‘pak cik Agong’ dan ‘Datin Permaisuri’.

Aji berkata perkara itu juga membuktika­n kasih sayang Al-Sultan Abdullah kepada rakyat meskipun jauh merentasi Laut China Selatan, sekali gus menepati kata-kata yang sering ditutur Seri Paduka, “Raja dan rakyat berpisah tiada”.

Kembara itu, katanya turut menghapusk­an persepsi ramai pihak bahawa rakyat Sarawak dan Sabah selama ini ‘dianaktiri­kan’ dan membantu menghakis perasaan kewilayaha­n dan kenegerian antara rakyat di Semenanjun­g, Sabah dan Sarawak.

Bita Chia, 41, seorang guru di sekolah rendah di Kuching, Sarawak pula menyifatka­n Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta paduka anakanda sebagai permata hati rakyat kerana tidak kekok melayan ragam rakyat yang mahu bergambar dengan baginda.

“Selain itu, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong juga kelihatan sangat selesa dan nyaman sepanjang berada di Kuching. Seri Paduka berdua kelihatan tertarik dengan keindahan, keunikan serta kelainan di Sarawak,” katanya kepada Bernama. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia