Utusan Borneo (Sarawak)

Jangan ambil mudah jika digigit, dicakar anjing atau kucing: Dr Ooi

-

Orang ramai dinasihatk­an untuk mendapatka­n rawatan di fasiliti kesihatan terdekat jika digigit atau dicakar oleh anjing atau kucing.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ooi Choo Huck berkata, penyakit rabies dalam kalangan manusia boleh dicegah dengan suntikan antirabies dan Rabies Immunoglob­ulin (mengikut penilaian pengamal perubatan) walaupun telah digigit atau dicakar oleh haiwan yang telah dijangkiti rabies.

“Adalah tidak mudah bagi orang awam untuk mengenal pasti haiwan yang dijangkiti rabies. Oleh itu, orang awam dinasihati untuk mendapatka­n rawatan di fasiliti-fasiliti kesihatan terdekat jika digigit atau dicakar oleh anjing atau kucing.

“JKN Sarawak juga ingin menasihatk­an orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakka­n jangkitan rabies,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Beliau menegaskan antara langkah adalah cuci dengan segera bahagian tubuh yang digigit atau dicakar haiwan atau mukosa yang terkena air liur haiwan (seperti mempunyai luka pada kulit dan dijilat oleh haiwan), di bawah air mengalir dan sabun selama sekurang-kurangnya 15 minit dan mendapatka­n rawatan di Post-Bite Clinic

Selain itu katanya, pastikan vaksin antirabies lengkap diterima mengikut janji temu yang diberikan oleh pengamal perubatan dan pastikan semua anjing dan kucing peliharaan diberi vaksinasi antirabies yang lengkap setiap tahun.

“Jangan membiarkan anjing dan kucing peliharaan anda berkeliara­n tanpa dipantau. Tidak mengendali­kan sebarang haiwan liar termasuk anjing dan kucing liar sama ada yang hidup atau yang telah mati.

“Laporkan kepada Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Sarawak (DVS) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhampira­n untuk tindakan lanjut haiwan tersebut.

“Kadar kematian penyakit rabies amat tinggi, namun penyakit ini boleh dicegah sekiranya luka gigitan atau cakaran dicuci sewajarnya dan vaksinasi antirabies yang lengkap diberikan sebaik selepas gigitan atau cakaran,” katanya.

Dr Ooi berkata, segera mendapatka­n rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan selepas digigit atau dicakar, termasuk anjing dan kucing peliharaan sendiri.

Katanya, vaksin antirabies boleh didapati di 190 buah Post-Bite Clinic di kemudahan kesihatan awam dan di 29 buah fasiliti swasta di seluruh Sarawak.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak akan terus memperting­katkan usaha bagi menangani wabak rabies di kalangan manusia daripada terus menular, katanya.

“Namun begitu, usaha ini memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak yang terlibat, termasuk orang awam dalam memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanak­an dengan berkesan,” kata Dr Ooi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia