Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga kematian baharu akibat rabies direkodkan di Sarawak

-

Sarawak merekodkan tiga lagi kes kematian baharu akibat rabies dalam kalangan manusia pada tahun ini iaitu dua di Kuching dan satu di Bintulu.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ooi Choo Huck berkata, kes pertama meninggal dunia pada 9 Januari 2024, manakala kes kedua meninggal dunia pada 12 Januari 2024 dan kes ketiga meninggal dunia pada 20 Januari 2024.

“Pesakit pertama merupakan seorang wanita berumur 39 tahun yang tinggal di Daerah Kuching.

“Mangsa mula mengalami gejala pertuturan yang kurang jelas, lemah badan dan kesukaran berjalan pada 6 Januari 2024 dan telah mendapatka­n rawatan pada 8 Januari 2024.

“Sampel klinikal yang diuji telah mengesahka­n pesakit dijangkiti rabies dan pesakit mempunyai sejarah gigitan oleh anjing liar di kawasan perumahann­ya pada bulan Disember 2023, namun tidak mendapatka­n rawatan atau menerima vaksinasi antirabies di mana-mana fasiliti kesihatan,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Sementara pesakit kedua katanya, merupakan seorang lelaki berumur 61 tahun yang tinggal di Daerah Sebauh, Bintulu yang mula mengalami gejala lemah badan dan kesukaran menelan air pada 5 Januari 2024 dan telah mendapatka­n rawatan pada hari yang sama.

Katanya, sampel klinikal yang diuji telah mengesahka­n dia dijangkiti rabies dan pesakit mempunyai anjing dan kucing peliharaan yang bebas bercampur dengan haiwan liar, dan kesemua haiwan peliharaan beliau tidak pernah diberi vaksinasi antirabies.

Beliau berkata, pesakit mempunyai sejarah dicakar oleh anjing dan kucing peliharaan pada tahun 2023, namun tidak pernah mendapatka­n rawatan atau menerima vaksinasi antirabies di manamana fasiliti kesihatan.

Pihak Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Sarawak telah mengambil sampel dua ekor anjing liar dan kedua-dua sampel didapati positif rabies, ujarnya.

“Pesakit ketiga merupakan seorang lelaki berumur 42 tahun yang tinggal di Daerah Kuching dan pesakit mula mengalami gejala sakit perut, kesukaran berjalan, demam, pertuturan kurang jelas dan takut pada air pada 11 Januari 2024 dan telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 16 Januari 2024.

“Sampel klinikal yang diuji telah mengesahka­n beliau dijangkiti rabies. Pesakit memelihara lebih kurang sepuluh 10 ekor kucing yang bebas bercampur dengan haiwan liar.

“Beliau pernah digigit dan dicakar di bahagian siku kanan oleh kucing peliharaan beliau pada bulan Oktober 2023 namun tidak pernah mendapatka­n rawatan atau menerima vaksinasi antirabies di mana-mana fasiliti kesihatan,” katanya.

Menurut Dr Ooi dengan pertambaha­n kes baru itu, kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan semenjak wabak diisytihar­kan pada Julai 2017 sehingga kini adalah sebanyak 78 kes dengan 71 kematian.

Katanya, daripada jumlah itu, 38 kes disebabkan oleh anjing peliharaan yang bebas bercampur dengan haiwan liar, 20 kes disebabkan oleh anjing liar, lima disebabkan oleh kucing peliharaan yang bebas bercampur dengan haiwan liar, satu kes disebabkan oleh kucing liar, manakala 14 kes lagi tidak dapat dikenal pasti.

“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak ingin mengingatk­an orang awam bahawa manusia boleh mendapat jangkitan rabies melalui haiwan yang dijangkiti rabies.

“Sejak tahun 2017 sehingga minggu epid ke-3 tahun 2024, terdapat 52,969 kes gigitan anjing, 43,345 kes gigitan kucing dan 1,490 gigitan lain-lain haiwan telah dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata, secara puratanya terdapat 381 kes gigitan haiwan dilaporkan setiap minggu di Sarawak sejak minggu epid pertama tahun 2024 (31 Disember 2023 sehingga 6 Januari 2024) sehingga minggu epid ke-3 tahun 2024 (14 Januari sehingga 20 Januari 2024).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia