Utusan Borneo (Sarawak)

Rujuk pakar kesihatan sebelum pengambila­n suplemen

- KUALA LUMPUR:

Orang ramai disaran untuk merujuk kepada pakar kesihatan sebelum mengambil sebarang suplemen bagi mengelak komplikasi sehingga menyebabka­n kegagalan buah pinggang.

Perunding Nefrologi dan Pakar Perubatan di Ara Damansara Medical Centre Dr Azreen Syazril Adnan berkata ini kerana bukan semua suplemen sesuai untuk semua orang dan kesan pengambila­nnya mungkin berbeza untuk setiap individu.

“Kita mempunyai gen dan keadaan kesihatan berbeza yang menyebabka­n tindak balas berbeza-beza terhadap sesuatu ubat atau bahan terdapat dalam suplemen.

“Antara perkara merisaukan adalah terdapat suplemen berada di pasaran yang tidak isytihar betul-betul kandungann­ya dan mungkin mengandung­i logam berat atau steroid. Jadi, jangan ambil suplemen tanpa berunding dengan doktor terlebih dahulu,” katanya pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, semalam.

Beliau turut memberi amaran bahawa pengambila­n suplemen boleh menyebabka­n keadaan pesakit buah pinggang bertambah teruk, terutamany­a rata-rata mereka tidak sedar menghidap penyakit itu kerana simptomnya sukar dikesan pada peringkat awal.

“Penyakit buah pinggang kronik ada lima peringkat. Pada peringkat satu hingga tiga, kebiasaann­ya tiada simptom. Simptom penyakit ini hanya akan muncul apabila sudah terlambat dan pesakit sudah memerlukan dialisis… antara gejala penyakit ini yang sangat ketara adalah pesakit mual pada waktu pagi, kaki bengkak, dan rasa lemah serta letih daripada kebiasaann­ya,” kata Dr Azreen Syazril.

Beliau berkata lebih membimbang­kan, rata-rata pesakit kini mula menghidap penyakit buah pinggang seawal usia 30 tahun, mungkin disebabkan amalan gaya hidup moden yang sedentari serta pengambila­n makanan yang tinggi dengan sodium. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia