Utusan Borneo (Sarawak)

Tampar bakal isteri, lelaki didenda RM1,500

-

Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau tiga bulan penjara di Mahkamah Majistret di sini kelmarin selepas mengaku bersalah mencederak­an bakal isterinya, dengan menampar kepala mangsa.

Mohd Noraffizan Affendi, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi sebaik dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap mangsa wanita berusia 29 tahun di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Jalan P. Ramlee di sini sekitar jam 10 pagi pada 20 November 2023.

Berdasarka­n fakta kes, timbul perselisih­an faham antara pasangan kekasih berkenaan selepas tertuduh mengakses aplikasi WhatsApp milik mangsa ke dalam telefon pintarnya.

Mangsa kemudianny­a meminta kebenaran tertuduh untuk melihat serta memeriksa telefon pintar tertuduh namun mangsa gagal menjumpai apa yang dicari.

Mangsa yang tidak berpuas hati dengan tertuduh seterusnya bertindak membaling telefon milik tertuduh ke atas jalan raya sebanyak dua kali dan perbuatan itu turut disaksikan oleh abang mangsa.

Melihatkan keadaan tersebut, tertuduh terus menampar sebelah kiri kepala mangsa sehingga menyebabka­n kesakitan di bahagian kepala dan telinga mangsa.

Tertuduh turut memaki mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian.

Rentetan itu, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan selanjutny­a.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia