Utusan Borneo (Sarawak)

Reman bekas setiausaha politik, ‘Datuk Seri’ disambung

SPRM dapat kebenaran sambung reman suspek kes minta, terima suapan daripada beberapa syarikat

-

PUTRAJAYA:Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kebenaran untuk menyambung reman bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri dan seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ berhubung kes meminta serta menerima suapan daripada beberapa syarikat yang mendapat tender di

sebuah kementeria­n.

SPRM dalam kenyataan di sini semalam berkata perintah reman selama tiga hari itu bermula hari ini hingga 30 Januari ini terhadap keduadua suspek yang berumur sekitar 40-an.

Perintah reman itu dikeluarka­n Majistret Ain Nurshahira Sahzan selepas permohonan dibuat SPRM di

Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.

Sebelum ini, kedua-dua suspek itu telah direman selama empat hari bermula 24 Jan lepas bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.

Mereka dipercayai telah menerima suapan daripada syarikat serta kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementeria­n pada 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.

Sepanjang tempoh siasatan, SPRM berkata beberapa buah kenderaan mewah yang dmiliki oleh suspek telah disita dan dirampas.

Kenderaan tersebut adalah Rolls Royce Ghost V12 Ewb, Mercedes-Benz G63 Amg Brabus, Range Rover Autobiogra­phy, Porche Cayenne,

Toyota Land Cruiser, Mini Cooper Works Rhd, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz S400L.

SPRM berkata kesemua kenderaan mewah itu kini disimpan di gudang sitaannya.

Menurut SPRM kenderaan mewah tersebut dipercayai adalah hasil sumber rasuah yang telah diperoleh oleh suspek bersangkut­an dengan tender di kementeria­n terbabit.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Azmi Kamaruzama­n ketika dihubungi mengesahka­n lanjutan reman terhadap dua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia