Utusan Borneo (Sarawak)

Terima kurniaan berharga, Petugas Istana Negara kenang jasa Permaisuri

-

badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang jua. Peribahasa lama ini disifatkan amat tepat bagi menggambar­kan rasa hati Muhammad Wafi Zabidi ketika diminta berkongsi kenangan sepanjang berkhidmat di bawah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h.

Berkongsi kenangan bersama baginda, Muhammad Wafi, 34, yang merupakan tukang masak di Istana Negara berkata beliau tidak akan melupakan jasa Seri Paduka yang membuka laluan kepada beliau dan pasanganny­a untuk menimang cahaya mata selepas lima tahun menanti.

Aurora Sofea Humaira yang kini sudah menjengah usia tiga tahun ialah anugerah paling berharga buat beliau dan isteri, Nurul Ain Md Yusof, 34, selepas Tunku Azizah berkenan mengurniak­an rawatan kesuburan persenyawa­an in-vitro (IVF) kepada beliau dan isteri.

“Selepas Tunku Azizah mula bersemayam di Istana Negara pada 2019, Tuanku sering bertanyaka­n kepada bentara siapa pekerja di sini yang dah lama berkahwin tetapi tidak mempunyai anak lagi dan bentara sebut nama saya.

“Kemudian, Tuanku terus bertemu saya di dapur Istana Negara dan bertanyaka­n kisah saya, kemudian meminta saya jalani rawatan IVF. Saya sangat terkejut, kerana ia melibatkan kos yang tinggi dianggarka­n RM30,000 dan ramai yang teringin melakukan rawatan ini, jadi saya sangat menjunjung kasih dengan kurniaan paling berharga daripada Tuanku ini,” katanya.

Tunku Azizah yang merupakan Pengasas Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) berkenan memilihnya untuk melakukan rawatan di yayasan berkenaan yang menjadi impian setiap pejuang TTC (wanita yang cuba mengandung). Muhammad Wafi dan isteri adalah antara 20 pasangan yang berkhidmat di Istana Negara dikurniaka­n rawatan IVF.

Berkongsi pengalaman, Muhammad Wafi yang berkhidmat di Istana Negara selama 11 tahun berkata beliau dan isteri menjalani rawatan itu ketika negara dilanda pandemik COVID-19 iaitu pada 2019 dan prosedur berkenaan mengambil masa hingga empat bulan.

Ibarat bertemu bukit di tepi telaga, dengan hanya sekali rawatan Muhammad Wafi dan pasangan berjaya dikurniaka­n cahaya mata perempuan yang sempurna dan sihat pada tanggal 2 Ogos 2020.

“Kurniaan ini merupakan kenangan yang saya akan ingat seumur hidup kerana rawatan IVF sangat mencabar terutama bagi wanita, isteri saya sampai dimasukkan ke hospital beberapa hari kerana kesukaran bernafas akibat ovari mengembang dan mengandung­i air yang banyak serta dikhuatiri ada risiko komplikasi.

“Bagaimanap­un selepas itu, alhamdulil­lah semuanya berjalan dengan lancar dan apabila dikhabarka­n IVF berjaya, Tuanku menitahkan saya untuk menjaga isteri betulbetul dalam fasa kehamilan dan tidak membenarka­n saya kerja di luar sedangkan waktu itu saya sepatutnya ditugaskan ke Kuantan, Pahang, jadi selepas dititahkan begitu saya banyak bertugas di Istana Negara sahaja,” katanya.

Bagi bentara Istana Negara Mohd Hasry Abd Rahim,

34, pula insiden rumahnya di Bemban, Melaka ditenggela­mi banjir sehingga paras bumbung pada November 2021 ialah sesuatu yang sukar dilupakan, apatah lagi ketika itu beliau sedang bertugas di luar negara mengikuti Tunku Azizah ke London, United Kingdom.

Situasi yang dialami keluargany­a itu membuatkan Mohd Hasry tidak dapat memberi tumpuan kepada tugasnya pada waktu itu, sehingga ditegur oleh Tunku Azizah yang seakan-akan

mengetahui sesuatu tidak kena padanya. “Sudah 13 tahun saya menetap di rumah itu tidak pernah sekali pun dilanda banjir, kemudian ketika bertugas di London pula tiba-tiba dapat perkhabara­n daripada isteri rumah kami tenggelam sehingga bumbung dan habis segala peralatan rumah rosak dan boleh dikatakan tinggal sehelai sepinggang. “Selepas dapat berita itu saya tak tentu arah, tak mampu fokus kerja, Tuanku perasan dan bertanyaka­n kenapa dan saya beritahu keadaan keluarga di Melaka sambil tunjukkan gambar serta video dan Tuanku terkejut tetapi Tuanku jugalah yang menenangka­n saya dan bertitah untuk membantu kami sekeluarga,” katanya.

Selepas pulang ke tanah air, Tunku Azizah kemudian berkenan mengurniak­an bantuan dari pelbagai segi bagi memulihkan kembali kediaman yang dilanda banjir itu termasuk kelengkapa­n rumah seperti perabot dan keperluan asas.

Mohd Hasry yang telah berkhidmat 11 tahun di Istana Negara menzahirka­n ucapan menjunjung kasih kepada Tunku Azizah kerana sejak dimasyhurk­an sebagai Raja Permaisuri Agong lima tahun lepas, baginda banyak mengurniak­an bantuan kepadanya dan petugas Istana Negara yang lain.

Raja Permaisuri Agong akan berangkat pulang ke Pahang mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah yang akan menamatkan pemerintah­annya berkuat kuasa 30 Jan ini.

Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Jan 2019. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? DIKENANG: Muhammad Wafi pada temu bual bersama wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Siti Baaqiah Mamat di Istana Negara di Kuala Lumpur, baru- baru ini.
— Gambar Bernama DIKENANG: Muhammad Wafi pada temu bual bersama wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Siti Baaqiah Mamat di Istana Negara di Kuala Lumpur, baru- baru ini.
 ?? ?? TEMU BUAL: Mohd Hasry pada temu bual bersama wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di Istana Negara di Kuala Lumpur, baru- baru ini.
TEMU BUAL: Mohd Hasry pada temu bual bersama wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di Istana Negara di Kuala Lumpur, baru- baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia