Utusan Borneo (Sarawak)

Pasangan warga emas lali redah banjir ke PPS

-

Pasangan warga emas sudah lali menghadapi situasi banjir setinggi paras pinggang di kawasan rumahnya di Kampung Kulim, di sini menyebabka­n mereka berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) beberapa kali setiap tahun.

Pasangan berkenaan, Che Mat Che Semik, 72, berkata beliau bersama isterinya Siti Rohani Mohammad, 64, sejak November lepas hingga sekarang, sudah berpindah tiga kali sepanjang banjir di negeri ini.

“Pada masa sekarang, air naik setinggi paras lutut di bahagian dapur rumah, manakala di halaman rumah pula setinggi paras pinggang selepas hujan lebat berterusan sejak Rabu lepas.

“Untuk berpindah ke PPS, kami perlu mengharung air sejauh 200 meter sebelum penduduk kampung membantu membawa kami ke PPS,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS Sekolah Kebangsaan Kulim di sini, semalam.

Che Mat berkata, kawasan rumah mereka mudah banjir berikutan berada di kawasan rendah terletak hanya 50 meter dari Sungai Jerangau yang mudah melimpah dan mereka sentiasa berjaga-jaga setiap kali air naik.

Che Mat berkata biasanya pasangan itu berpindah awal bagi mengelak kesukaran pihak agensi menyelamat datang mengambil mereka, selain tidak mahu berhadapan dengan arus deras.

“Memandangk­an kami hanya tinggal berdua kerana tujuh anak bekerja di luar Kelantan, jadi kami mengambil langkah persediaan awal bagi mengelak sebarang risiko.

“Kami mengemas barang-barang penting ke tempat tinggi dan selamat kerana biasanya hujan lebat sehari boleh menyebabka­n sungai melimpah, seterusnya masuk ke ruang dapur,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia