Utusan Borneo (Sarawak)

Keputusan serap ahli PSB ke dalam PDP diteliti selepas TBC: Henry

-

SIBU: Keputusan untuk menyerap ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) ke dalam Parti Demokratik Progresif (PDP) akan diteliti selepas Tahun Baharu Cina (TBC), kata Timbalan Presiden PDP Datuk Henry Harry Jinep.

“Kita lihat apa yang akan berlaku, selepas Tahun Baharu Cina.

“Kami akan melihat bagaimana musim perayaan ini, Tahun Naga berfungsi untuk kami.

“Jadi, kita menantikan perkara yang baik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina PDP di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembang­an keputusan untuk menyerap ahli PSB ke dalam PDP.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengangkut­an Sarawak menjelaska­n bahawa kedua-dua pihak bekerjasam­a sebagai rakan.

“Jika mereka (PSB) merasakan bahawa GPS adalah platform yang baik dan kukuh untuk bekhidmat, saya rasa tidak ada salahnya.

“Jika mereka fikir PDP adalah platform yang baik, kawan baik untuk bekerjasam­a, tidak ada salahnya, tiada siapa boleh menghalang kami.

“Mana-mana pihak yang sudi bekerjasam­a untuk kebaikan rakyat, untuk kebaikan negara, saya rasa saya tidak nampak apa-apa kemudarata­n.

“Kita hidup bersama secara harmoni terutamany­a, apabila tiba musim perayaan kita melupakan tentang politik,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru.

Ditanya sama ada ahli akar umbi PDP bersedia untuk menerima ahli PSB ke dalam parti mereka, Henry berkata, arahan itu sedang dijelaskan kepada mereka.

“Dalam PDP mempunyai majlis tertinggi, badan tertinggi (dalam parti), apabila kita memutuskan di majlis tertinggi dan juga oleh parti, itulah yang kita mahu beritahu sokongan akar umbi, kita bergerak ke arah itu,” tambahnya.

Hadir sama ialah Presiden PDP Dato Sri Tiong King Sing, Naib Presiden PDP Datuk Dr Penguang Manggil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Rolland Duat, ADUN Krian Friday Belik, Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh, Timbalan Presiden PSB Dr Johnical Rayong Ngipa dan pengerusi penganjur Agatha Ting.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia